Friday 15 July 2016

Akta Kawalan Harga dimansuh, pengguna bimbang harga naik


PETALING JAYA : Dua persatuan pengguna bimbang cadangan kerajaan mempertimbangkan pemansuhan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan menjadi punca harga barang tidak dapat dikawal.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata pemansuhan itu tidak akan dapat mengawal harga barang kerana akta terbabit banyak melindungi kepentingan pengguna tentang harga.

“Macam kita dengar baru-baru ini harga ayam RM30 seekor, walaupun ada akta ini isu seperti itu pun tak dapat diselesaikan, apatah lagi kalau akta ini dimansuhkan.

“Kalau akta ini dimansuhkan, perlindungan pengguna akan terabai dan peniaga akan berkuasa untuk menetapkan harga tanpa adanya satu bentuk kawalan,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan pemansuhan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 selepas mengambil kira rungutan peniaga.

Hamzah berkata kajian sedang dilakukan kementeriannya melibatkan mereka yang berkepentingan.

Berkongsi kebimbangan itu, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) S M Mohamed Idris berkata sekiranya akta terbabit dimansuhkan, ia akan menyebabkan harga barang naik mendadak.

“Ini kerana tidak ada undang-undang untuk diambil terhadap peniaga,” katanya.

Beliau pada masa sama menggesa kerajaan tidak memansuhkan akta itu kerana ia akan membebankan rakyat dan pihaknya khuatir harga barang tidak dapat dikawal.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan pula berbeza pandangan berhubung cadangan pemansuhan akta berkenaan.

Katanya, jika akta itu tidak ada penguatkuasaan daripada pihak kerajaan, tidak ada masalah untuk ia dimansuhkan.

“Kalau dimansuhkan mungkin akan memberikan keyakinan kepada peniaga luar negara supaya lebih minat untuk berniaga di sini. Jadi ini keadaan yang serba salah. Ada akta yang tidak dikuatkuasakan sama saja.

“Kalau dimansuhkan, bagi orang yang berminat lagilah untung. Maknanya orang akan pergi ke Malaysia, sebagai contohnya.

“Tapi yang paling penting adalah ada atau tidak ada akta yang perlu kita tentukan, pengguna perlu ada maklumat dan pendidikan,” katanya.

- FMT

No comments: