Friday 9 September 2016

Anak Anwar, Nuha akui tidak lagi marah Dr M

nuha-anwar
PETALING JAYA: Nurul Nuha Anwar akui dirinya sudah cukup dewasa untuk memahami situasi politik semasa dan cara dia menyimpul pertemuan di antara bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anak kedua bekas timbalan perdana menteri yang kini menginjak usia 32 tahun menjelaskan dirinya tidak lagi seperti di zaman remaja yang penuh dengan rasa marah melihat penganiayaan berterusan yang dilakukan terhadap bapanya.

“Jangka masa 18 tahun cukup lama dan mengubah saya. Saya banyak belajar dari papa dan mama walaupun terkilan melihat papa yang masih dianiaya. Diktator lama sudah turun, tetapi diktator baru masih ada,” katanya kepada FMT.

Dia yang terkejut dan tergamam seketika akui pertemuan itu juga menjadi bahan bukti yang jelas bapanya tidak bersalah tetapi dijadikan mangsa politik kepimpinan ketika itu.

“Beliau terus dianiayai menggunakan taktik yang sama tetapi di bawah diktator baharu pula. Cuma saya sebagai anak amat berbangga apabila papa berjiwa besar, bersalaman malah senyum lagi.

“Ini menunjukkan kita perlu terus mara ke hadapan sekarang. Walaupun ada peristiwa pahit yang dilalui, dipecat, dipukul dan dimasukkan di penjara atas fitnah sama,” katanya.

Anwar menjalani hukuman penjara 5 tahun, dibawa menghadiri permohonannya menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 pada 5 September lalu.

Beliau mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan justeru menuntut pembatalan serta perintah injunksi menghalang penguatkuasaan MKN.

Dr Mahathir dan Anwar buat pertama kali bertemu pada hari tersebut selepas 18 tahun Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Dr Mahathir bertindak memecat Anwar 2 September, 1998 selepas dituduh menyalah guna kuasa dan salah laku seks.

Pemecatannya mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur.

No comments: