Friday 9 September 2016

Dr M: Roboh tugu helang tak jadikan Melayu lebih Islam

Bahasa, tugu helang, Dr Mahathir, langkawi, Mufti Perak, patung, Islam
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan gesaan beberapa pihak supaya patung dan tugu dirobohkan kononnya kerana melanggar hukum Islam, dan berkata tindakan itu tidak akan menjadikan umat Islam lebih warak.

“Umat Islam zaman ini lebih bijak. Mereka tidak akan menyembah lukisan atau tugu. Mereka tahu ia bukan tuhan,” katanya sebagai respon beberapa kenyataan yang dibuat pihak berkuasa agama.

Baru-baru ini, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata pembinaan tugu adalah haram, selepas timbalannya Zamri Hashim mempersoalkan kewajaran mengekalkan tugu helang yang menjadi mercu tanda Pulau Langkawi.

Alasan yang diberikan adalah pembinaan patung dan tugu adalah haram di sisi Islam dan berunsur syirik (menyekutukan Allah).

Pembangunan Pulau Langkawi merupakan sesuatu yang rapat dengan Dr Mahathir, yang kerap memantau pelbagai projek di pulau peranginan itu ketika meneraju kerajaan. Ini termasuk patung helang setinggi 12 meter di Dataran Lang, sebagai simbol asal usul nama Langkawi daripada burung helang.

Dr Mahathir berkata beliau yakin umat Islam tidak akan menyembah tugu helang itu.

“Bila mana umat Islam meletakkan kayu colok dan melutut di depan Helang di Langkawi, maka pada hari itu mereka perlu diberitahu yang mereka tidak menuruti Islam.,” katanya.

“Sehingga kini, tidak ada orang Islam yang bersembahyang atau menyembah tugu helang di Langkawi. Merobohkannya tidak menjadikan orang Melayu lebih Islam.”

Dr Mahathir berkata pendirian Islam mengenai pembinaan tugu dan patung juga perlu dilihat dalam konteksnya, malah berbeza-beza.

Beliau masih ingat sewaktu zaman kanak-kanak ketika ramai orang Melayu melarang permainan anak patung.

“Tetapi apabila industri permainan kanak-kanak berkembang, anak patung tidak pula diharamkan,” tulis Dr Mahathir dalam blognya semalam.

Menurutnya, larangan Islam itu hanya terhadap ukiran yang dibina dengan niat menyembahnya sebagai tuhan, dan disebabkan itu seni Islam adalah berlandaskan geometri.


- FMT

No comments: