Friday 9 September 2016

KWSP catat pendapatan RM8.44b bagi suku kedua 2016

Image result for KWSP catat pendapatan RM8.44b bagi suku kedua 2016
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melaporkan pendapatan pelaburan suku tahunan sebanyak RM8.44 bilion bagi suku kedua (Q2 2016) berakhir 30 Jun, 2016, penurunan tahun ke tahun sebanyak 26.04
peratus berbanding RM11.41 bilion pada suku kedua 2015.
Aset pelaburan mencatatkan peningkatan sebanyak 0.76 peratus atau RM5.17 bilion, kepada RM689.69 bilion berbanding RM684.52 bilion pada 31 Dis, 2015.
Sejak akhir tahun lepas, KWSP telah membuat persediaan bagi mengharungi persekitaran ekonomi domestik dan global yang mencabar," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, dalam satu kenyataan bagi mengumumkan prestasi pelaburan suku kedua 2016, hari ini.
Ketidaktentuan itu diburukkan lagi oleh perkembangan seperti Brexit dan harga komoditi yang rendah, katanya.
"Kami telah melihat dan menjangkakan kelembapan selanjutnya dalam ekonomi global dan turun naik yang ketara dalam ekuiti. Pasaran menyaksikan penilaian yang lebih rendah dalam harga saham, terutama dalam sektor kewangan serta minyak dan gas, berbanding suku yang sama tahun lepas, kata Shahril Ridza.
Menggunakan langkah berhemat mengikut piawaian perakaunan antarabangsa IFRS 139, dana simpanan persaraan utama Malaysia itu mencatatkan rugi terjejas bagi pelaburan ekuiti sebanyak RM3.58 bilion pada suku tahun yang dikaji selaras dengan kejatuhan harga ekuiti semenjak tahun lepas.
Pendapatan pelaburan kasar bagi suku kedua 2016 berjumlah RM12.07 bilion, atau RM233.95 juta lebih tinggi berbanding RM11.83 bilion yang dicatatkan pada suku kedua 2015.
Bagaimanapun, sebagai dana berhemat, kami merekodkan kerugian nilai menurut pasaran dalam penyata pendapatan dan pada masa yang sama mencatatkan keuntungan pada penyata imbangan kami.
"Ini akan memastikan penyata imbangan kami kekal baik dan membolehkan kami untuk memanfaatkan sebarang pemulihan dalam pasaran. Penyusutan nilai aset kepada nilai pasaran semasa akan memberi peluang kepada kami untuk merealisasikan keuntungan pada masa depan," kata Shahril Ridza.
Pada suku kedua 2016, ekuiti yang mewakili 40.94 peratus daripada jumlah aset pelaburan KWSP, menyumbang RM3.83 bilion, mewakili 45.37 peratus daripada jumlah pendapatan pada suku tersebut.
Ini merupakan 45.03 peratus lebih rendah daripada RM6.97 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun 2015.
Bagaimanapun, pendapatan kasar sebelum rugi terjejas daripada ekuiti tersenarai berjumlah RM7.46 bilion adalah lebih tinggi sedikit berbanding RM7.39 bilion yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Sehingga Jun 2016, sebanyak 51.61 peratus daripada aset pelaburan KWSP adalah dalam instrumen pendapatan tetap yang terus memberikan impak pendapatan yang konsisten dan stabil kepada sederhana ekoran penurunan tahun ke tahun dalam pasaran ekuiti.
Suku kedua menyaksikan pelaburan pendapatan tetap mencatatkan pendapatan sebanyak RM4.07 bilion, bersamaan dengan 48.27 peratus daripada pendapatan suku tahun.
Pendapatan daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) & Bersamaan pada suku kedua 2016 meningkat 9.48 peratus atau RM169.45 juta kepada RM1.96 berbanding RM1.79 bilion pada Q2 2015.
Sementara itu, Pinjaman dan Bon menjana pendapatan pelaburan sebanyak RM2.12 bilion, berbanding RM2.02 bilion pada suku kedua 2015.
Pelaburan dalam instrumen pasaran wang dan hartanah serta infrastruktur masing-masing mencatatkan 3.87 peratus dan 3.59 peratus daripada jumlah aset pelaburan, dan menyumbang pendapatan pelaburan sebanyak RM239.32 juta dan RM294.83 juta pada suku kedua 2016.
"Kami terus berhati-hati dalam unjuran kami, dan terus menjangkakan ketidaktentuan global ekoran unjuran pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih rendah untuk 2016 dan 2017 oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), dan unjuran lemah dalam ekonomi membangun dan pesat membangun susulan pemilihan presiden Amerika Syarikat dan risiko berkaitan Brexit yang masih belum berakhir.
Shahril Ridza berkata persekitaran kadar faedah yang rendah disebabkan oleh penurunan kadar faedah oleh bank pusat bagi merangsang ekonomi dijangka kekal untuk seketika dan akan memberi cabaran memandangkan lebih separuh daripada pelaburannya adalah dalam instrumen pendapatan tetap.
Pengurangan kadar faedah dalam negara baru-baru ini juga akan menjejaskan pendapatan jangka panjang ke atas pendapatan daripada instrument domestik," katanya.
"Bagaimanapun, kami terus memberi tumpuan kepada objektif pelaburan jangka panjang bagi menjaga dan meningkatkan nilai simpanan ahli," katanya.
Beliau berkata ia akan dilakukan dengan menyasarkan dividen sebenar untuk sekurang-kurangnya dua peratus mengatasi inflasi yang dikira dalam tempoh tiga tahun.
- Bernama

No comments: