Wednesday 14 September 2016

Muhyiddin: Bantu kami tumbangkan BN, kami bantu bebaskan Anwar

muhyiddin
PETALING JAYA: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sudi bekerjasama dengan parti pembangkang lain untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, lapor The New Straits Times hari ini.

Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pihaknya akan mendesak pembebasan itu kerana ia merupakan permintaan orang ramai.

Bagaimanapun, permintaan itu hanya boleh ditangani sekiranya PPBM sebahagian daripada kerajaan yang menggantikan BN dan penyokong mengizinkan beliau melakukannya.

“Kita perlukan reformasi sistem pilihan raya yang radikal untuk membebaskan semua rakyat Malaysia. Hanya melalui penukaran kemudi, kita akan dapat tentukan nasib Anwar.

“Kita tak boleh harapkan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) untuk bebaskan Anwar,” kata Muhyiddin di seminar anjuran PKR, berdasarkan laporan NST.

Muhyiddin menyatakan simpati kepada Anwar yang terpaksa mengharungi lima tahun penjara.

NST bagaimanapun tidak melaporkan sama ada Ahli Parlimen Pagoh ada mengulas sama ada Anwar bersalah atau tidak atas dakwaan seks luar tabii.

“Jika kita boleh setuju membebaskan Anwar matlamat yang penting, kita boleh sepakati perkara ini apabila kita bentuk kerajaan,” katanya, berdasarkan laporan itu lagi.

PPBM menjadi parti politik yang terbaharu di negara ini selepas pendaftarannya diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) minggu lepas.

Di samping Muhyiddin, antara pemimpin parti itu termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai naib presiden.

Muhyiddin menyeru semua parti politik pembangkang supaya bersatu dan menyokong PPBM menentang BN dalam pilihan raya akan datang.

“Untuk menyelesaikan masalah, kita perlu tukar kerajaan, dan semua pemimpin BN perlu disingkir.

“Saya juga tidak mahu sertai Umno semula kerana parti itu dilanda rasuah dan pengurusan sekian lama,” katanya, menurut NST.

Anwar disabit kesalahan liwat pada 7 Mac 2014 oleh Mahkamah Rayuan yang menterbalikkan keputusan mahkamah yang membebaskan beliau pada tahun sebelumnya.

Pada 10 Februari tahun lepas, rayuan Anwar ke Mahkamah Persekutuan temui kegagalan selepas mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan, dan beliau disabit kesalahan lima tahun penjara kerana salah laku seks terhadap bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.


- NST

No comments: