Friday 9 September 2016

Pilihan raya umum seawal Mac tahun depan?

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal daripada 2018, menurut Bloomberg memetik beberapa sumber rapat dalam Umno.

Malah, Parlimen mungkin dibubarkan seawal Mac, menurut sekurang-kurangnya 2 sumber parti.

“Mengapa tidak. Pembangkang tidak sehaluan. Kami bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya,” laporan itu memetik seorang pemimpin Umno bahagian.

Najib dan beberapa pemimpin kanan Umno juga menjelajah di seluruh negara menghadiri mesyuarat parti dan menggesa ahli melipatganda usaha menarik sokongan generasi muda, menurut laporan Bloomberg, yang menganggap kemenangan PRU untuk Najib boleh mematahkan segala spekulasi beliau akan gagal mengharungi dakwaan skandal yang membuatkan pelabur asing tertanya-tanya mengenai masa depan politiknya.

Penganalisis bagaimanapun tidak pasti sama ada rancangan Najib mengadakan PRU seawal tahun depan sesuatu yang baik untuknya, di sebalik masalah berkait 1MDB dan ekonomi merudum.

“Sebaik-baiknya, mereka mahu mengadakan pilihan raya apabila rakyat mula merasakan mereka lebih selesa dari segi kewangan,” kata Sholto Byrnes dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa.

Menurutnya, mengadakan PRU ketika harga minyak dan bahan mentah lain pada paras rendah di samping nilai ringgit yang turun naik merupakan tindakan yang amat berisiko.

PRU yang terakhir diadakan ketika hampir tamat mandat Barisan Nasional (BN) pada Mei 2013. Ia menyaksikan BN memenangi 133 kerusi dan Pakatan Rakyat 89.

Sejak itu, pelbagai perubahan berlaku di kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, termasuk perpecahan di dalam Pakatan Rakyat dan kemunculan beberapa parti baharu.

Kontroversi 1MDB juga menyebabkan perpecahan dalam Umno, selepas Najib menyingkirkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kabinet dan parti. Muhyiddin kini menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang turut dinaungi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin kanan Umno lain.

Timbalan Pengarah Institut Yusof Ishak di Singapura Ooi Kee Beng berkata Najib kini menghadapi tekanan mengorak strategi daripada hanya menunggu keadaan bertambah reda.

“Tidak perlu terkejut sekiranya pilihan raya diumumkan tahun depan,” katanya


-Bloomberg.

No comments: