Tuesday 13 September 2016

Ti ingatkan DAP supaya tidak menyibuk hal MCA-Umno

ti-lian-ker-dap
PETALING JAYA: Ahli jawatankuasa pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyarankan DAP supaya tidak menyibuk hal ehwal MCA dan Umno dalam Barisan Nasional (BN) dengan mempelawa parti itu menyertai pembangkang.
Sebaliknya, DAP dinasihat fokus kepada kerjasamanya dengan parti Tun Dr Mahathir Mohamad.
“MCA tidak akan bekerjasama dengan parti pembangkang seperti DAP kerana perjuangan mereka tidak berprinsip.
“Jadi, eloklah DAP bekerjasama dengan Dr Mahathir, tidak perlu mengajak MCA. Kami parti yang berprinsip dan kepercayaan diletakkan hanya kepada BN, serta semangat tolak ansur sesama parti dalam BN,” katanya.
Berbeza dengan DAP, Ti menggambarkan ia sebagai parti tanpa prinsip dan pendirian selain tidak konsisten. Ini katanya jelas ditunjukkan dalam kerjasama dengan parti-parti komponennya dan pemimpin lain sebelum ini.
“Dulu sebelum 1999 mereka kerjasama dengan Pas selepas itu kutuk parti Islam itu, kemudian pada 2008 kerjasama lagi dan sekarang kutuk semula. Sama juga dengan kutukan terhadap Muhyiddin dan kenyataan yang Mahathir amalkan rasuah, sekarang boleh bekerjasama pula.” katanya dalam nada sindir kepada FMT.
Ti menegaskan, MCA akan terus setia dengan BN kerana gabungan mereka dalam komponen itu masih utuh dan saling memerlukan.
“Kita bersama mewujudkan BN dan bekerjasama dengan 13 parti lain dalam BN,” katanya.
Ti berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan pemimpin DAP, Lim Lip Eng iaitu pembangkang dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sedia menimbang kerjasama dengan MCA jika parti Cina itu meninggalkan BN.
Ini susulan tindakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang membidas MCA dan mencabarnya meninggalkan BN.
- FMT

No comments: