Sunday 11 September 2016

Tindakan Dr M lawan Najib disuruh Islam, kata Khairuddin

Khairuddin Abu Hassan
PETALING JAYA: Bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad bekerjasama dengan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah untuk menentang kemungkaran dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Malah, naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan itu berkata perbuatan Dr Mahathir melawan kejahatan Najib untuk selamatkan Malaysia disuruh Islam.
“Tun Mahathir pada usia 91 tahun sedang bangun melawan kemungkaran, korupsi serta salah guna kuasa Najib, serta Umno, demi selamatkan Malaysia.
“Tindakan Tun Mahathir disuruh oleh agama Islam. Islam suruh kita tentang kemungkaran, rasuah, serta salah guna kuasa.
“Tetapi malangnya pemimpin Umno macam Rahman Dahlan yang tidak waras serta gila, demi pertahan poket, pangkat dan perut kalangan kaki bodek, mereka sanggup bersekongkol dengan kemungkaran yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya kepada FMT.
Kem Dr Mahathir hari ini mengutuk Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan apabila menyifatkan bekas perdana menteri itu seorang yang tidak waras apabila sanggup bekerjasama dengan musuhnya, Anwar.
Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM) Rushdan Mohamed berkata kenyataan Rahman itu biadab.
“Kesian kerana menteri Najib hari ini bukan setakat biadab dan kurang ajar tapi bebal dan dungu.
“Teruskanlah sebelum kamu semua ditalkinkan oleh rakyat jelata yang sudah jemu, muak, menyampah dengan perangai menteri kaki jilat dan ampu ini,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Rahman yang juga ahli Majlis Tertinggi berkata tindakan Dr Mahathir ketika ini sudah sampai ke tahap tiada kewarasannya.
Beliau berkata apa saja tindakan yang dilakukan bekas perdana menteri itu, termasuk tidak menolak untuk bekerjasama dengan Anwar, sudah menjadi sesuatu yang bukan luar biasa lagi.
- FMT

No comments: