Friday 30 September 2016

Kementerian cadang mansuh cukai kerusi kereta kanak-kanak

Aziz_Kaprawi16a.transformed
PUTRAJAYA: Cadangan memansuhkan duti import dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) terhadap kerusi kereta kanak-kanak ialah antara senarai Kementerian Pengangkutan dalam Bajet 2017 yang akan dihantar kepada Kementerian kewangan sebelum pembentangan bulan depan.
The Sun melaporkan, cadangan itu dikemukakan bagi membolehkan ibu bapa memiliki kerusi kereta kanak-kanak untuk dipasang di kenderaan masing-masing demi keselamatan kanak-kanak dan bayi.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata pihaknya sedar kos yang mahal bagi setiap kerusi kereta berkenaan menyebabkan ramai ibu bapa tidak dapat membelinya.
“Kementerian akan mengemukakan permohonan pengecualian cukai bagi penggunaan sistem menahan diri kanak-kanak (CRS) itu.
“Kami mahu menjadikan kerusi kereta kanak-kanak mampu dimiliki ibu bapa kerana kita sedar kosnya antara alasan kenapa mereka sukar membeli dan memasangnya dalam kenderaan masing-masing,” katanya kepada The Sun.
Kerusi kereta kanak-kanak pada masa ini dikenakan GST bersama duti import sehingga 30% kerana ia dikategorikan sebagai aksesori kereta di bawah kod HS 9401.2 oleh Jabatan Kastam.
Bagaimanapun, seorang pembekal barangan itu di Lembah Klang berkata tidak semua kerusi kereta kana-kanak yang diimport dikenakan cukai tinggi.
“Contohnya, jika kita mendapatkannya dari China, tidak ada duti cukai import kerana Perjanjian Perdagangan Bebas Asean (Afta). Tetapi jika bukan rundingan Afta, kena duti 30%,” katanya.
Sementara itu, menurut The Sun Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Datuk Arifin Che Mat berkata kebanyakan kerusi kereta kanak-kanak yang mendapat persijilan R44 di pasaran, adalah barangan import.
Beliau berkata pihaknya sudah berhubung dengan pengedar tempatan dan pembuat kereta sejak beberapa bulan lalu untuk berbincang bagaimana harga kerusi kereta kanak-kanak dapat dikurangkan.
Difahamkan, Kementerian Pengangkutan akan melancarkan kempen keselamatan sepanjang setahun bermula November depan untuk menggalakkan ibu bapa memasang CRS sebelum kementerian menguatkuasakannya pada 2019.
- TheSun

Agong tiada kuasa pecat PM, kata bekas peguam negara

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
KUALA LUMPUR: Perdana menteri tidak boleh dilucutkan oleh Agong, sebaliknya ia perlu melalui proses Parlimen yang sedia ada atau keputusan mahkamah, menurut bekas peguam negara Tan Sri Abu Talib Othman.
“Sama ada perdana menteri kekal atau tidak diputuskan majoriti wakil rakyat,” katanya kepada FMT, menjawab tafsiran perlembagaan peguam Haniff Khatri Abdulla baru-baru ini.
Dua hari lalu. Haniff, peguam kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan kuasa Agong untuk melantik PM “termasuk kuasa untuk pecat”.
Kenyataan Haniff itu sebelum ini turut disanggah Datuk Seri Nazri Aziz yang pernah memegang portfolio menteri undang-undang.
Nazri berkata Agong hanya boleh memecat PM sekiranya hilang sokongan majoriti di Parlimen.
Abu Talib berkata undi tidak percaya perlu diadakan di Parlimen bagi tujuan menyingkir PM.
Menurutnya, PM juga boleh disingkir sekiranya majoriti ahli Parlimen memaklumkan kepada Agong mereka tidak lagi menyokong kepimpinan PM.
“Ini merupakan prinsip perundangan yang digunakan Mahkamah Persekutuan dalam kes Perak pada 2010, susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Abu Talib.
Haniff sebelum ini berhujah, walaupun Perkara 40 (2) (a) dalam Perlembagaan tidak menyebut kuasa Agong melucutkan PM, Perkara 29 Jadual 11 pula menyebut mana-mana pihak yang diberikan kuasa melantik juga mempunyai kuasa memecat atau menggantung.
Katanya, jadual tersebut perlu dibacakan bersama-sama perlembagaan.
Abu Talib bagaimanapun berkata ia tidak boleh dijadikan asas melucutkan ketua eksekutif kerajaan.
Tambahnya, jadual yang dirujuk Haniff itu hanya terpakai dalam melucutkan ahli kabinet memandangkan mereka dilantik atas nasihat PM.
- FMT

Kontroversi PhD: Azizan Osman 'Kunci Mulut'

PETALING JAYA: Penceramah motivasi popular, Azizan Osman masih berdiam diri mengenai kontroversi kelayakan akademiknya selepas Universiti Malaya (UM) menafikan menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepadanya.

Sehingga kini Azizan gagal dihubungi bagi mendapatkan penjelasan.

Sebaliknya, firma yang diasaskan Azizan - Richworks Group of Companies tampil menyatakan kekesalan berhubung kontroversi berkenaan.

"Merujuk kepada kenyataan  Universiti Malaya, kami ingin memaklumkan bahawa kami mengambil perkara ini secara serius.

"Kami juga telah memohon untuk penjelasan lanjut dan sebaik sahaja proses ini berakhir, kami akan memaklumkan secara umum. Kami kesal di atas kesulitan yang mungkin berlaku," demikian menurut syarikat itu menerusi kenyataan pada Khamis malam.

Menurut syarikat itu lagi, pihak mereka akan menangani perkara berkenaan dengan sebaik mungkin.

Sebelum ini UM menafikan pernah menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Azizan.

Ia susulan kekecohan yang dibangkitkan netizen sebelum ini mengenai kelayakan akademik Azizan apabila beliau sendiri mendakwa telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat oleh UM di atas "kerja keras, dedikasi, sumbangan dalam pembangunan usahawan di Malaysia, terutamanya bumiputera".

- mStar

PRU14 Tidak Perlu Diadakan Tergesa-Gesa - Annuar Musa

KANGAR: Pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tidak perlu diadakan tergesa-gesa hanya kerana ada isu tertentu menyelubungi negara, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, mandat yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat dan negara berikutan kelembapan ekonomi dunia.
Katanya, kerajaan tidak harus terperangkap dengan provokasi pembangkang yang sentiasa memainkan pelbagai isu termasuk isu perkauman supaya segera mengadakan PRU14 sebelum tempoh akhir 2018.
"Kerajaan yang bertanggungjawab mengutamakan rakyat dan perpaduan kaum, berbeza dengan pembangkang yang lebih pentingkan kuasa politik. Saya harap kerajaan sekarang tidak terikut-ikut rentak mereka.
"Bila rakyat memberi mandat, sewajarnya proses demokrasi itu dibenarkan berjalan sehingga akhir tempoh, bukan diganggu-gugat," katanya kepada Bernama di sini, Khamis.
Katanya, kerajaan BN juga wajar memberi peluang kepada parti politik baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyelesaikan pendaftaran mereka dahulu supaya berpeluang bertanding dalam pilihan raya umum.
Annuar berkata Umno tidak bimbang untuk PRU14 diadakan pada bila-bila masa kerana sentiasa siap siaga.
"Pembangkang sebaliknya tidak akan berhenti mengganggu sehingga jentera kerajaan gagal berfungsi dan rakyat mempersoalkan keupayaan kerajaan mentadbir negara.
"Oleh kerana kerajaan BN lebih bersifat terbuka untuk dikritik dan ditegur, pembangkang seolah-olah tidak peduli masalah rakyat khususnya ekonomi negara," katanya.
Beliau berkata kejatuhan harga minyak dunia memberi kesan ketara terhadap hasil negara namun kerajaan BN sentiasa berusaha mengambil tindakan untuk mengurangkan kesannya terhadap rakyat.
Dalam pada itu Annuar meminta golongan yang mendapat manfaat hasil daripada perjuangan UMNO supaya membantu parti 'mentarbiah' terutama golongan muda supaya mendaftar sebagai pengundi berikutan kira-kira 1.2 juta orang Melayu yang layak mendaftar masih belum berbuat demikian.
Mengenai pakatan parti pembangkang, beliau berkata DAP masih merupakan parti dominan dan tidak akan tunduk kepada kemahuan parti lain termasuk PPBM yang diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 
- Bernama

Nampaknya Selangor tidak bersedia hadapi pencemaran air, kata Noh Omar

noh-omar_water_selangor_600
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor nampak tidak faham mencegah lebih baik daripada mengubati, dalam menangani kejadian pencemaran di Loji Rawatan Air Sungai Semenyih baru-baru ini, kata Tan Sri Noh Omar.
Bercakap di sidang media di Pusat Konvensyen Shah Alam hari ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata penjelasan Kerajaan Negeri mendedahkan mereka tidak bersedia menangani masalah itu.
“Jika kamu gagal merancang, kamu merancang untuk gagal.
“Respon Kerajaan Selangor iaitu mencari punca pencemaran bekalan air menunjukkan mereka tidak ada rancangan pencegahan. Sepatutnya mereka menjalankan kajian, kemuka garis panduan jelas, dan tidak membenarkan kilang beroperasi di tepian sungai,” katanya.
Noh menjawab laporan memetik Exco Elizabeth Wong yang berkata Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sedang menguruskan isu pencemaran air itu sejak kegagalan fungsi loji 22 September lepas.
Katanya agensi berwajib bekerja siang malam untuk menyiasat punca pencemaran bau. Beliau tidak menolak kemungkinan sabotaj, dan berikrar tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Pencemaran itu menyebabkan ribuan pengguna di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air sepanjang minggu.
Noh, yang juga Pengerusi Umno Selangor berkata, Kerajaan Negeri sepatutnya sudah mempunyai beberapa langkah penyelesaian, kerana bukan kali pertama kejadian pencemaran air berlaku.
“Macam lah perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Dulu mereka salahkan Syabas, sekarang mereka yang uruskan air jadi tidak ada alasan.
“Mereka (parti pemerintah) tidak akan mengakui kesalahan. Mereka tuding jari kepada pihak ketiga kerana mahu tunjukkan kepada rakyat kononnya mereka lah yang paling baik.”
- FMT

Opec kurangkan pengeluaran, harga minyak naik 5%

crude production
KUALA LUMPUR: Harga minyak meningkat lebih 5% susulan keputusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (Opec) mengurangkan pengeluaran yang mendorong saham berkaitan minyak dan gas di peringkat global dan tempatan diniagakan tinggi hari ini.
Mesyuarat Opec selama 3 hari, yang berakhir semalam, akhirnya mendapat persetujuan daripada negara-negara pengeluar minyak utama untuk mengurangkan pengeluaran minyak buat kali pertama sejak 2008.
Hari ini, harga minyak naik 5%, dengan dagangan West Texas Intermediate diniagakan pada US$46.75 setong.
“Langkah ini meningkatkan harga komoditi tersebut, memberi manfaat kepada saham yang berkaitan termasuk unit syarikat minyak negara, Petronas,” kata peniaga.
Pada penutup, saham Petronas Gas meningkat 2 sen kepada RM21.88 dan Petronas Chemicals menokok 9 sen kepada RM6.69.
Saham minyak dan gas yang lain, SapuraKencana, Bumi Armada dan Petron menyaksikan saham mereka naik 7 sen kepada RM1.57, 3 sen kepada RM72 sen dan setengah sen kepada RM4.05.
Dilaporkan di bawah perjanjian tersebut, pengeluaran minyak OPEC dijangka berkurangan kepada 32.5 hingga 33 juta tong sehari daripada 33.4 juta.
Bagaimanapun, Ketua Penyelidikan Mercury Securities Edmund Tham berkata perjanjian Opec untuk mengurangkan pengeluaran minyak dijangka memberi sokongan jangka pendek kepada harga minyak.
“Keputusan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mungkin sementara dan peniaga masih berhati-hati dan ragu bahawa harga minyak akan terus rendah untuk beberapa minggu akan datang,” katanya kepada Bernama.
Faktor lain yang akan menyediakan momentum kepada indeks tempatan pada minggu-minggu akan datang, Tham berkata pelabur akan memberi perhatian kepada Bajet 2017 yang akan datang untuk melihat insentif yang ditawarkan.

- Bernama

Sabotaj bekalan air, kakitangan Air Selangor digantung

air-selangor-2
KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menggantung seorang pekerjanya kerana disyaki terlibat dalam perbuatan khianat yang menyebabkan gangguan bekalan air hingga menjejaskan 340,000 pengguna di Klang dan Petaling 1 September lepas.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Suhaimi Kamaralzaman berkata pekerja tersebut digantung pada 6 September lepas manakala laporan polis berhubung kejadian itu dibuat pada 9 September lalu.
Katanya, laporan siasatan juga dikemukakan kepada Suruhjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Gangguan itu menjejaskan lebih 39,000 akaun di 24 kawasan di Klang dan 29,000 akaun di 27 kawasan di Petaling, terutamanya di kawasan Sime UEP,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bekalan air kembali pulih pada 2 September lalu.
Suhaimi berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin atau memecat pekerja yang didapati terlibat dalam perbuatan khianat.
Air Selangor akan memastikan kejadian seperti ini tidak berulang dan mengelakkan sebarang kejadian gangguan bekalan air akibat kecuaian pekerja, katanya.
- Bernama

Jumpa saya, kami rumus cara bantu bayar PTPTN, kata Idris

idris-jusoh-ptptn
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi sedang merumuskan pelan untuk membantu peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyelesaikan pinjaman pelajaran mereka.
Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebelum membantu peminjam, kementerian perlu menilai keadaan mereka bagi mengenal pasti peminjam yang benar-benar menghadapi kesukaran untuk membuat bayaran balik atau mereka yang sengaja enggan berbuat demikian.
“Saya akan rumuskan versi saya sendiri, pelajar boleh datang berjumpa saya (Idris)… kami akan draf cara untuk membantu mereka (peminjam) membayar balik pinjaman PTPTN mereka, saya adalah alternatif mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kepimpinan Pelajar 2016 di Help College of Arts and Technology (HELP CAT), di sini, hari ini.
Idris, bagaimanapun, menegaskan peminjam pada masa sama perlu terus membuat pembayaran balik pinjaman mereka kepada PTPTN ketika pelan sedang dirumuskan.
Ditanya mengenai jumlah peminjam yang menghubungi kementerian setakat ini bagi mendapatkan bantuan, Idris berkata beliau secara peribadi menerima kira-kira 30 e-mel daripada peminjam yang berdepan kesukaran untuk membayar balik pinjaman mereka.
Setakat Julai tahun ini, terdapat 2.49 juta pemimjam PTPTN di seluruh negara sejak badan itu ditubuhkan pada 1997.
Sebelum ini dilaporkan Kementerian Pendidikan Tinggi menyasarkan kutipan balik pinjaman sebanyak RM3 bilion menjelang akhir tahun ini susulan sasaran bayaran balik pinjaman sebanyak RM2 bilion diunjurkan bagi tahun ini dicapai.
Terdahulu, dalam ucaptamanya, Idris berkata Seminar Kepimpinan Pelajar 2016 menyediakan peluang kepada pemimpin pelajar daripada pelbagai institusi swasta untuk membina rangkaian antara satu sama lain dan meningkatkan kemahiran kepimpinan mereka.
Seminar dua hari bermula hari ini dihadiri 800 pemimpin pelajar daripada pelbagai kolej dan universiti swasta di sekitar Lembah Klang.
- FMT

Kurang 10% projek diberi DBKL kepada kontraktor Bumiputera

kontraktor
KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Wilayah Persekutuan menggesa supaya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) lebih adil dan telus dalam pemilihan kontraktor.
Yang Dipertua persatuan itu, Ahmed Zaharani Yusof Omar berkata pihaknya mahu agar DBKL memberi keutamaan kepada kontraktor Bumiputera yang beralamat dan beroperasi di ibu negara untuk melaksanakan projek di bawah seliaan DBKL.
“Di kebanyakan negeri, hanya kontraktor tempatan yang beralamat di negeri masing-masing sahaja diberikan peluang (mendapatkan projek),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
DBKL didakwa hanya memberi kurang 10% daripada kira-kira RM900 nilai keseluruhan projek dalam setahun, kepada kontraktor Bumiputera.
Dalam pada itu, Ahmed Zaharani menyokong penuh langkah DBKL menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) dengan 44 syarikat kontraktor yang memperoleh tender DBKL bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin lalu.
Beliau yang mewakili 1,342 anggota persatuan tersebut turut mencadangkan semua dokumen kontrak ditambah klausa dan terma yang membolehkan kontraktor terlibat disiasat dan diambil tindakan sekiranya ada unsur rasuah.
- Bernama

Nazri kata Agong tiada kuasa pecat PM

nazri-istana-1
PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Datuk Seri Nazri Aziz menyangkal dakwaan Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa oleh Perlembagaan Persekutuan untuk memecat perdana menteri.
Menjawab tafsiran Perlembagaan peguam Haniff Khatri Abdulla, Nazri memberitahu FMT yang Agong hanya boleh memecat perdana menteri yang kehilangan sokongan majoriti ahli Parlimen.
“Perlembagaan menyatakan Agong melantik seorang perdana menteri berdasarkan sokongan yang diterima di Parlimen.
“Selagi beliau ada sokongan majoriti ahli Parlimen, beliau tidak boleh dipecat.
“Agong tidak ada kuasa untuk memecat perdana menteri begitu sahaja. Sekali lagi, proses perlu dimulakan di Parlimen.”
Haniff, yang merupakan peguam kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, malam tadi berkata Perlembagaan menyatakan “kuasa untuk melantik termasuk kuasa untuk pecat”.
Menyokong hujahnya, Haniff berkata Perkara 29 Jadual 11 Perlembagaan menyebut “undang-undang bertulis menyatakan bagi individu atau pihak yang diberi kuasa membuat pelantikan ke mana-mana pejabat, kuasa yang sama hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung individu yang dilantik dan melantik orang lain buat sementara bagi menggantikan individu yang digantung sedemikian”.
Oleh itu, jika Yang di-Pertuan Agong percaya dakwaan pembangkang yang mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan kesalahan jenayah, maka baginda boleh memecat perdana menteri dan melantik orang lain untuk mengambil alih jawatan itu, jelas Haniff.
Nazri membetulkan tafsiran itu, dengan menjelaskan Agong hanya boleh menggantung atau memecat Najib hanya jika undi tidak percaya terhadapnya berjaya dilakukan.
“Bagaimanapun, ahli Parlimen perlu mencadangkan nama (pengganti) kepada Agong, bukan Agong yang melantik mana-mana individu yang baginda mahu.
“Beliau (Haniff) perlu faham ini merupakan demokrasi berparlimen.
“Untuk memecat seorang perdana menteri, beliau perlu ditumpaskan melalui undi tidak percaya.
“Parlimen yang perlu memulakan tindakan terhadap Najib. Jika tidak, tidak ada cara untuk Agong memecat perdana menteri.”
Dr Mahathir pada 15 September menghadap Yang di-Pertuan Agong dan dilaporkan menyerah dokumen Deklarasi Rakyat, yang didakwa mengandungi 1.4 juta tandatangan, yang antara lain menyeru penyingkiran Najib.
Pejabat Perdana Menteri kemudian mengeluarkan kenyataan akhbar yang berkata Yang di-Pertuan memaklumkan Najib akan pertemuan itu.
Kenyataan itu juga berkata Yang di-Pertuan Agong memberitahu Dr Mahathir tidak ada apa yang boleh dilakukan kerana deklarasi itu “tidak mengikut Perlembagaan”.
- FMT

Thursday 29 September 2016

Kenyataan Mahathir menjelikkan dan memalukan, kata Rahman Dahlan

rahman mahathir
KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Rahman membidas Dr Mahathir Mohamad, memanggilnya seorang yang memalukan dan tidak waras kerana catatan terbaharu bekas perdana menteri itu di blognya semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pemasaan catatan itu, yang membandingkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada rejim Nazi, menimbulkan rasa meluat dan jelik memandangkan Najib kini melawat Jerman.

“Dr Mahathir kini semakin menjelikkan. Beliau bukan sama membandingkan Perdana Menteri dan semua yang berada dalam Kerajaan sebagai Nazi, tetapi melakukannya ketika Perdana Menteri berada di Jerman.

“Tidak wajar untuk menghina sebuah negara dan mengungkit segala sejarah lampaunya yang memeritkan semata-mata untuk mendapat kelebihan politik,” kata Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam blognya semalam, Mahathir menyifatkan pimpinan BN, penulis blog pro-BN dan media arus perdana – iaitu TV3, New Straits Times dan Utusan Malaysia – Goebbels kecil.

Joseph Goebbels antara pengikut setia Adolf Hitler dan terkenal dengan kemahiran pidato di Jerman di bawah pemerintahan Nazi. Pada 1933, Goebbels diangkat menteri propaganda Hitler.

Mahathir menuduh Goebbels kecil cuba memperbaiki imej perdana menteri yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), berkata Mahathir bukan negarawan.

“Adalah amat memalukan melihat seorang bekas Perdana Menteri memusnahkan legasi sendiri dan mendedahkan dirinya sebagai seorang yang kecewa dan pendendam,” katanya, mencadangkan Dr Mahathir marah kerana perancangan untuk mengguling Najib gagal.

“Baik bekas Perdana Menteri mahu pun yang masih memegang jawatan, mereka tidak sewajarnya berada dalam kancah politik picisan. Bagaimanapun, Dr Mahathir kelihatan berasa amat selesa berada di situ. Mujurlah Dr Mahathir tidak lagi memimpin Malaysia,” tambah Rahman.

- FMT

Veteran PAS keturunan Bugis bakal ganti Haron Din?

Dr Sanusi Daeng Mariok
KUALA LUMPUR: Nama bekas naib presiden PAS era 90-an, Dr Sanusi Daeng Mariok kini semakin popular untuk dilantik sebagai mursyidul am PAS menggantikan Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Daeng, yang pernah dipelawa bekas pemimpin PAS Datuk Mohd Asri Muda ke dalam barisan kepimpinan pada 1976, kini mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib PAS, iaitu badan sama yang melucutkan keahlian bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa, April lalu.

Walaupun sudah lama tidak menonjol dalam politik PAS, tiba-tiba saja beliau dinobatkan “tokoh ulama paling senior”, dan menjadi fokus satu tulisan khas dalam Harakahdaily, lidah rasmi parti itu.

Rencana itu dikarang Ketua Pusat Sumber, Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Fadli Ghani, yang dipercayai mempunyai pengaruh besar dalam kepimpinan PAS semasa.

Fadli sebelum ini giat menulis ruangan “Hari ini dalam sejarah PAS” yang memberikan laporan objektif tanpa memuji mana-mana tokoh yang masih hidup.

Artikel mengenai Daeng itu diterbitkan ketika PAS tercari-cari siapakah bakal dilantik menjadi mursyidul am, jawatan tertinggi yang dikhaskan untuk golongan agamawan PAS.

Selepas kematian Haron, timbalannya Datuk Ahmad Yakub, yang juga menteri besar Kelantan, menolak cadangan beliau mengisi kekosongan itu.

“Bagi saya, tulisan panjang dalam Harakahdaily itu adalah signal besar tentang siapakah bakal mursyidul am yang baru,” kata Abdul Shukur Harun, bekas wartawan dan pemerhati veteran PAS.

Shukur yakin Daeng kini sedang ditonjolkan untuk dijadikan pemimpin spiritual tertinggi PAS.

Pandangan Shukur disokong penganalisis Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, yang berkata cadangan itu masuk akal dan wajar.

Namun begitu, beliau masih bertegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih merupakan calon terbaik untuk jawatan itu.

Dalam penulisan itu, Daeng dipuji kerana berjaya menangani krisis kepemimpinan PAS yang tercetus selepas Muktamar PAS 2015 di Kuala Selangor.

Daeng, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Daeng, 80, merupakan bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama dengan Haron.

Beliau memperolehi PhD dalam bidang Usuluddin di Universiti Darul Ulum, Kaherah pada 1975.

Kali terakhir nama beliau meniti media massa adalah apabila Jawatankuasa Tatatertib PAS diketuai beliau membuat keputusan memecat Datuk Husam Musa, berkuatkuasa 23 April 2016 lepas.

Sebelum ini beliau pernah menjadi naib presiden, naib ketua Dewan Ulama dan pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, surat khabar diterbitkan parti itu.

Daeng terpilih sebagai ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan pada pilihan raya 1990 dan 1995.

Sebelum ini, ada yang menyebut Hadi tokoh yang paling layak dilantik sebagai mursyidul am.

Bagaimanapun, timbul tanda tanya siapa menggantikan Hadi sebagai presiden. Ini kerana, barisan kepimpinan PAS yang ada sekarang tidak mahu timbalan beliau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, naik ke jawatan presiden.

Tuan Ibrahim dilihat mempunyai pendekatan berbeza dengan Hadi yang lebih rapat dengan kepimpinan Umno.

- FMT

Hina KPN di Facebook, penghantar surat didakwa

polis_fb_kpn_600
KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Siber di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik status yang bersifat menghina dan jelik terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Rosmin Mohamed Noor, 40, yang merupakan orang kena saman membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Lot 708, Kampung Teluk Bahru 2, Lundang, Kota Bharu, Kelantan, pada 10.10 pagi, 22 September lepas mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Rosmin diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Faridah Nurdinie Bahrum menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Nurul Jannah Abdul Rahman yang menyebut bagi pihak peguam yang mewakili Rosmin memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan itu kerana orang kena saman tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Katanya, Rosmin juga seorang bapa tunggal dan mempunyai seorang anak berusia 13 tahun dan penanggung tunggal keluarganya.

- Bernama

UM nafi anugerahkan ijazah kedoktoran kepada ‘pakar motivasi’

azizan-osman
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) hari ini menafikan ia pernah menganugerahkan ijazah doktor kehormat kepada seorang perunding motivasi yang menghasilkan beberapa buku mengenai 
pemasaran dan menganjurkan seminar motivasi.
sijil


Dalam laman web syarikat Richworks Group of Companies yang diketuainya, Azizan mendakwa beliau dikurniakan ijazah falsafah kedoktoran (PhD) daripada UM.

Sebuah lagi laman web mempromosikan dirinya sebagai seorang yang luas dalam pemasaran dan pengiklanan mendakwa beliau mendapat kelulusan MBA dan PhD dalam bidang pengurusan “dari sebuah universiti tempatan” pada 2009.

Bagaimanapun, UM hari berkata pihaknya tidak pernah menganugerahkan ijazah itu kepada Azizan.

“Pihak universiti dengan ini menegaskan bahawa kami tidak pernah menganugerahkan gelaran ijazah Kehormat Doktor Keusahawanan kepada Encik Azizan Osman,” kata kenyataan ringkas.

Menurut laman web Azizan, antara mereka yang pernah mengikuti program motivasi beliau termasuk pelakon dan pengarah filem, Afdlin Shauki.

“Masalahnya ramai orang tidak tahu atau tidak sedar yang mereka tidak ada ilmu perniagaan yang sebenar daripada usahawan dan jutawan yang telah terbukti berjaya serta telah terbukti telah membantu ramai usahawan lain untuk berjaya! Saya sendiri belajar daripada Dr Azizan bagaimana membina perniagaan saya!” menurut testimonial yang diterbitkan laman itu.

Seorang lagi pelakon, Heliza Helmi, dipetik sebagai berkata:

“Program Dr Azizan sangat-sangat menyentuh hati saya dan benar-benar memberi impak yang positif kepada diri saya.”

- FMT

Pemuda Gerakan selar Jamal Yunos tuduh Bersih-IS

Tan Keng Liang
PETALING JAYA: Meskipun turut mengkritik Bersih 2.0, Pemuda Gerakan tidak bersetuju dengan tuduhan Datuk Jamal Yunos yang kumpulan pendesak perubahan pilihan raya itu “diresapi” oleh pengganas IS.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang mengakui Gerakan sangat keliru dengan tuduhan yang serius itu, meskipun parti itu tidak bersetuju dengan cara Bersih 2.0 mahu menjalankan demonstrasi mereka.

“Baju Merah atau sesiapa pun tidak boleh membuat tuduhan serius ‘pengganas’ terhadap Bersih 2.0 kecuali ada bukti kukuh untuk menyokongnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada sidang media semalam, ketua Umno Bahagian Umno Sungai Besar itu yang menerajui gerakan Baju Merah juga mendakwa Bersih 2.0 akan mengepung Putrajaya dan lapangan terbang pada 19 November.

Jamal mendakwa menerima maklumat itu daripada “sumber boleh dipercayai”.

Tan berkata tuduhan Jamal akan semakin menjejaskan industri pelancongan, dan demonstrasi jalanan Bersih 2.0 yang akan diadakan pada 19 November akan memberikan “kesan serius” terhadap industri itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa Baju Merah menghentikan tuduhan “pengganas” yang tidak berasas terhadap Bersih 2.0.

“Jika Baju Merah ada bukti kukuh terhadap tuduhan mereka, maka ia patut diserahkan kepada polis untuk siasatan tanpa mempublisitikan tuduhan yang belum dibuktikan,” katanya.

Bersih 2.0 akan mengadakan perhimpunan kelima pada 19 November untuk reformasi institusi dan mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan.

- FMT

DRB-Hicom mahu selesai lupus kepentingan Proton pertengahan 2017

drb-hicom
SETIA ALAM: Konglomerat DRB-HICOM Bhd berhasrat untuk menyelesaikan langkah pelupusan kepentingan Proton Holdings Bhd menjelang pertengahan tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar ketika bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Proton Saga baharu di sini hari ini, berkata kumpulan itu sedang mengkaji cadangan daripada 5 bakal pembeli.

“Kami sedang berada di peringkat memahami cadangan strategik mereka di mana kami akan bermesyuarat dengan mereka untuk berbincang secara lebih mendalam bagi memahami apa yang mereka boleh tawarkan sebelum kami membuat keputusan berapa banyak pegangan yang boleh kami lepaskan.

“Kami berharap untuk mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi menjelang tahun depan dan menyelesaikan langkah-langkah ini sekurang-kurangnya pada pertengahan tahun depan. Bagaimanapun, kami akan berusaha untuk menyimpulkan perjanjian pada suku pertama,” katanya.

Syed Faisal berkata, terdapat 3 kategori utama yang akan diambil kira dalam membuat memilih rakan kongsi iaitu strategik, operasi dan budaya.

“Kami sedang melihat apa yang mereka (bakal pembeli) boleh tawarkan termasuk kesanggupan mereka untuk membangunkan vendor tempatan kami,” katanya.

Syed Faisal, bagaimanapun, berkata DRB-HICOM masih belum memutuskan berapa banyak kepentingan Proton yang akan dijual.

“Kami belum memutuskan sebarang angka. Ia bergantung kepada berapa banyak potensi dalam tawaran berkenaan dan saya dapati ianya adalah terlalu awal untuk membuat keputusan pada masa sekarang kerana kami belum memuktamadkan tawaran tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata pembuat kereta nasional itu menyemak semula sasaran jualan untuk Proton Saga yang baharu kepada 5,000 unit sebulan daripada 8,000 unit sebulan.

Pengurangan sasaran itu dibuat berikutan persaingan sengit dalam pasaran kereta sedan.

“Jika kami dapat mencapai sasaran jualan pada sekurang-kurangnya 5,000 unit sebulan, kami jangka pulangan untuk model itu akan berlaku dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Proton Saga baharu datang dalam 3 varian iaitu Standard, Eksekutif dan Premium, dengan harga bermula daripada RM36,800 hingga RM45,800 di Semenanjung Malaysia.

Semua model ini dilengkapi dengan enjin VVT 1.3L, menggantikan enjin IAFM yang digunakan dalam generasi terdahulu.

Teknologi VVT ini mampu meningkatkan prestasi Proton Saga dari segi pecutan dan penggunaan bahan api, kata Fuaad.

- Bernama

NSTP tutup 2 kilang, kata bekas pengarang

nstp
PETALING JAYA: Seorang bekas pengarang kanan New Straits Times (NST) mendedahkan syarikat akhbar itu akan menutup 2 kilang percetakannya, dipercayai kesan daripada kemerosotan jualan akhbar dan hasil iklan.

Bekas pengarang kumpulan NST, Mustapha Kamil berkata kilang di Ajil di Terengganu dan Senai di Johor akan ditutup, dengan pekerja terbabit diberi pilihan berpindah ke kilang di Prai dan Shah Alam, atau berhenti.

“Saya percaya penutupan kedua kilang tersebut adalah sebahagian dari langkah-langkah syarikat untuk mengelakkan dari terus menanggung kerugian, berikutan merudumnya jualan akhbar dan iklan,” kata Mustapha dalam catatan Facebook beliau.

Selain akhbar berbahasa Inggeris NST, syarikat New Straits Times Press (NSTP) yang dimiliki Media Prima Berhad juga menerbitkan Berita Harian dan Harian Metro.

Baru-baru ini, laporan oleh Biro Audit Pengedaran (ABC) menunjukkan jualan surat khabar di Malaysia merosot tahun lepas berbanding tempoh yang sama 2 tahun sebelumnya.

Sebaliknya, penggunaan media digital mencatatkan peningkatan 148%. Pada 2014, ABC melaporkan jualan NST susut lebih 30%.

Mustapha berkata syarikat akhbar itu perlu jujur mengenai punca di sebalik prestasinya, dan berharap ia akan “meneliti sebab-sebab sebenar”.

“Saya percaya pihak syarikat amat arif tentang faktor yang menyebabkan penurunan prestasi produknya itu. Anda tidak boleh lagi menidakkan apa yang benar dan anda juga tidak lagi mempunyai banyak masa,” katanya.

Mustapha meletak jawatan Mei lalu kerana kecewa dengan laporan berat sebelah NST mengenai kemelut 1MDB.

Beliau yang berkhidmat 26 tahun bersama akhbar itu sebelum ini pernah mempersoalkan etika kewartawanan akhbar pro-Umno itu.

“Bagaimana kamu hendak bersemuka dengan wartawan, pengiklan dan seterusnya orang awam? Siapa yang bohong sekarang?” kata Mustapha ketika mengulas ketiadaan berita mengenai tindakan menyita aset 1MDB oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat Julai lalu.

- FMT

SPRM perlu hadir sekatan jalan bagi menghalang rasuah, kata C4

cynthia-macc-1
PETALING JAYA: Menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekatan jalan boleh mengurangkan kegiatan rasuah, kata Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (Pusat C4).

Pengarah Eksekutif Pusat C4, Cynthia Gabriel juga mencadangkan kamera dipasang di sekatan jalan bagi memantau sebarang aktiviti mencurigakan.

Cynthia mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Penatua PKR, Robert Linggi, yang berkata polis perlu memantau pegawainya termasuk yang mengawal sekatan jalan, bagi menepis sebarang syak wasangka terlibat dalam penerimaan rasuah dari pendatang tanpa izin di Sabah.

Ia susulan pelbagai tuduhan terhadap pegawai polis yang menerima rasuah di sekatan jalan, termasuk rakaman video yang dimuat naik di YouTube menunjukkan pegawai meminta suapan.

Cynthia berkata kehadiran pihak ketiga seperti SPRM akan menyukarkan amalan rasuah di samping menggalakkan ketelusan.

Beliau mengakui sumber SPRM yang terhad untuk menempatkan pegawai di setiap sekatan jalan, namun pemeriksaan secara rambang masih boleh dilakukan.

“Orang ramai juga boleh mengambil tindakan proaktif dan merakamkan bukti amalan rasuah seperti kejadian meminta dan membayar wang sogokan.”

Katanya, seseorang yang memberi rasuah selepas diminta, tetapi menyerahkan rakaman kejadian itu kepada SPRM, kemungkinan besar dianggap saksi dan bukan suspek.

Awal tahun ini, Robert berkata terdapat dakwaan pegawai polis di Sabah menerima wang suapan antara RM50 dan RM300 daripada pendatang tanpa izin.

Ia susulan dakwaan pendatang tanpa izin Indonesia yang berkata mereka berjaya sampai ke Tawau menerusi rasuah, seperti dilapor media Indonesia.

- FMT

Perlembagaan benarkan Agong singkir PM, kata peguam

haniff
SHAH ALAM: Peguam kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan adalah salah untuk berkata Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa menyingkir Perdana Menteri.

Malah, undang-undang tertinggi negara iaitu Perlembagaan Persekutuan dengan jelasnya menyatakan, “kuasa melantik termasuk kuasa untuk menolak,” kata Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

“Ada pihak mempersoal kuasa Agong terhadap Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak). Bagi saya, jawapannya ada dalam perlembagaan.

“Perkara 40 (2) (a) menyatakan Agong boleh bertindak menurut budi bicara dalam pelantikan Perdana Menteri. Ia tidak menyentuh soal kuasa memecat Perdana Menteri.

“Tetapi dalam Seksyen 29 Jadual ke-11, undang-undang bertulis menyatakan bagi individu atau pihak yang diberi kuasa membuat pelantikan ke mana-mana pejabat, kuasa yang sama hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk kuasa untuk membuang kerja atau menggantung individu yang dilantik dan melantik orang lain buat sementara bagi menggantikan individu yang digantung sedemikian,” kata Haniff, memetik perlembagaan.

“Oleh itu, jawapannya ada di sana, tetapi kita tidak melihatnya. Apabila kita tidak melihatnya, maka kita tidak akan tahu,” kata pakar undang-undang itu dalam satu forum yang diadakan di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian membalas kenyataan Barisan Nasional (BN) yang menolak percubaan pergerakan Selamatkan Malaysia melibatkan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah untuk menjatuhkan Najib.

Ini susulan kenyataan BN yang berkata Agong tidak mempunyai kuasa menjatuhkan perdana menteri dan satu-satunya cara untuk menggulingkan “pemimpin yang dipilih secara demokrasi dan menerusi kerajaan” adalah pilihan raya umum.

Komen tersebut timbul selepas pertemuan Dr Mahathir dengan Agong pada 15 Sept, di mana beliau dilapor menyerahkan set kedua dokumen Deklarasi Rakyat yang mengandungi 1.4 juta tandatangan menuntut penyingkiran Najib.

Najib kemudian mendakwa Agong memberitahu Dr Mahathir tiada apa yang boleh dilakukan menerusi perisytiharan itu yang “tidak mengikut perlembagaan.”

“Ia salah. Lagipun, Perkara 43 (6) Jadual 6 memerlukan seorang Perdana Menteri mengangkat sumpah untuk menegakkan, melindungi dan mempertahankan perlembagaan,” kata Haniff.

“Jika salah laku yang didakwa dilakukan Najib disenaraikan dalam Deklarasi Rakyat itu benar, maka itu adalah pelanggaran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Jika seseorang melanggar sumpah yang diambil di mahkamah, mereka boleh dipertanggungjawabkan kerana menghina mahkamah. Jadi, jika ia salah untuk berbohong di bawah sumpah di hadapan mahkamah, apatah lagi di hadapan Agong,” katanya.

Pakar perlembagaan Profesor Aziz Bari dan peguam Adnan Seman yang turut berucap dalam forum itu pada mulanya tidak menyedari peruntukan yang didedahkan oleh Haniff.

Kedua-duanya kemudiannya mempersoalkan kewajarannya pula.

“Jadi sekarang ada pihak yang tidak suka pada perdana menteri meminta Agong menyingkir Najib. Katakan perkara sama berlaku selepas Pakatan Harapan (PH) mula berkuat kuasa.

“Katakan PH masih gagal menyelesaikan konflik dan mengambil keputusan untuk berpecah. Orang ramai kemudian hilang kepercayaan terhadap pemimpin mereka dan sekali lagi meminta Agong untuk membuang Perdana Menteri ketika itu.

“Kemudian apa? Di mana kita akan berhenti?” soalnya.

Kedua-dua beliau dan Aziz kemudian meminta pihak yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran semasa supaya menunggu masa di mana demokrasi sebenar diamalkan, iaitu pilihan raya umum akan datang.

- FMT

Wednesday 28 September 2016

Bincang dulu, kata PKR selepas Dr Mahathir umum pilihan PM

xavier_mahathir_muhyiddin_600
PETALING JAYA : PKR hari ini berharap sebarang keputusan mengenai calon perdana menteri bayangan dibincang dahulu dengan parti lain, selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang menang pada pilihan raya umum akan datang.
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata Dr Mahathir, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), perlu berbincang terlebih dahulu kerana kenyataan terbuka mengenai calon perdana menteri.
Katanya, sebarang pengumuman mengenainya tanpa mengambil kira semua parti terbabit boleh menyebabkan rasa kurang senang.
“Jangan buat kenyataan tergesa-gesa macam itu walaupun kita akan bekerja bersama-sama dengan gabungan besar,” kata Xavier kepada FMT.
PKR dan DAP sebelum ini berkali-kali sepakat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini menjalani hukuman penjara 5 tahun, akan dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Putrajaya jatuh ke tangan pembangkang.
Berucap di London baru-baru ini, Dr Mahathir berkata, Muhyiddin, yang juga presiden PPBM, adalah pilihan utama sebagai perdana menteri.
Bagaimanapun, beliau mengakui tidak banyak perbincangan diadakan mengenainya kerana ia boleh menjejaskan gabungan pembangkang itu.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP, Zairil Khir Johari tidak hairan dengan kenyataan Dr Mahathir itu.
“Itu presiden parti dia, takkan dia nak cakap orang lain,” kata ahli Parlimen Bukit Bendera itu
“Perkara ini belum dibincang lagi. Saya tak rasa perkara ini perlu dibincangkan buat masa ini. Tak perlu dijadikan isu,” katanya.
- FMT

Bekalan air Selangor pulih sepenuhnya esok

Air Selangor Amin Lin Abdullah
KUALA LUMPUR: Bekalan air kepada 337,000 akaun pengguna yang terjejas sejak 22 September lalu ekoran penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dijangka pulih sepenuhnya esok.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata loji yang dirawat akibat pencemaran bau air mentah itu kini pulih di tahap 97%.
Namun katanya pemulihan bekalan air ke beberapa kawasan di penghujung sistem agihan air dan kawasan tinggi memerlukan lanjutan masa dan dijangka pulih sepenuhnya lewat tengah hari pada Khamis.
“Kini hanya 35,000 akaun di beberapa kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat dan Sepang yang masih mengalami gangguan bekalan air seperti Hospital Serdang, IOI City Mall, Bandar Sunway Semenyih dan Cyberjaya.
“Kami akan meninjau semula keadaan pemulihan keseluruhan pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Amin berkata langkah pemulihan sedang giat dijalankan di kawasan tersebut manakala bantuan air kecemasan melalui lori tangki air dan sedang dihantar ke kawasan terlibat.
“Laporan ujian air terawat Loji Rawatan Air Sungai Semenyih menunjukkan kualiti air terawat mematuhi kesemua parameter yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.
Katanya, pengguna boleh mendapatkan status terkini mengenai bekalan air melalui aplikasi telefon bimbit mySYABAS atau melayari www.syabas.com.my.
- Bernama

Tanpa isu 1MDB pun BN akan gagal tawan Selangor, kata Ibrahim Ali

ibrahim-ali
PETALING JAYA: Penyokong Barisan Nasional (BN) berbangsa Melayu akan beralih arah sekiranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presiden Perkasa.
Datuk Ibrahim Ali berkata percaya BN akan terus gagal menawan Selangor sekiranya isu 1MDB dicanangkan pada waktu kempen, namun ia bukanlah prasyarat kemenangan pakatan parti pemerintah negeri.
Ini kerana status quo tidak akan berubah sekiranya corak pengundian orang Melayu pada PRU13 berulang dalam pilihan raya akan datang.
“Melayu yang tolak BN pada PRU13, saya tidak fikir mereka akan kembali undi BN sebab PRU13 mereka sudah tolak. Sewaktu PRU13, mereka tolak BN dan pada masa itu belum ada isu 1MDB dan GST. Itu pun BN kalah teruk.
“Kalau setakat penyokong Melayu BN yang undi BN pada PRU13 menyokong dan undi BN pada PRU14, maka BN akan gagal tawan Selangor,” katanya kepada FMT.
Semalam, tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati pengundi BN akan terus menyokong BN walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan pengerusi BN, terpalit kontroversi 1MDB.
Tinjauan melibatkan 1,761 pengundi di 56 kawasan pilihan raya di Selangor. Tinjauan juga mendapati penyokong BN berbangsa Melayu percaya isu 1MDB tidak akan menjejaskan negara.
Namun begitu, sebanyak 40% penyokong BN di Selangor mahu tindakan undang-undang diambil terhadap individu misteri Malaysian Official One (MO1) yang disebut dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Ibrahim berkata, perkara yang perlu diperhatikan sama ada pengundi Melayu akan menerima penjelasan BN berhubung isu 1MDB pada pilihan raya nanti.
“Adakah penjelasan yang dibuat oleh pemimpin Umno dan BN mengenai isu 1MDB diterima rakyat Selangor termasuk pengundi Melayu hingga boleh menyakinkan mereka semula untuk mengundi BN,” katanya.
Pada PRU13 lalu, BN hanya memenangi 12 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat melalui gabungan DAP, PAS dan PKR memperolehi 44 kerusi DUN sekaligus berjaya membentu kerajaan negeri dengan bilangan kerusi majoriti.
Dalam tinjauan lain melibatkan 711 pengundi muda Melayu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata sampal menunjukkan kecenderungan yang mirip kepada pengundi Melayu atas pagar yang menolak BN, DAP dan tidak berminat dengan PAS.
- FMT

PPMB tolak dakwaan Muhyiddin sisihkan Dr Mahathir

muhyiddin_mahathir_bersatu
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin suka membuat keputusan tanpa perbincangan dengan pemimpin lain.
Sebaliknya, sumber yang rapat dengan pimpinan parti berusia kurang sebulan itu memberitahu FMT Muhyiddin sentiasa mengadakan perbincangan deengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam semua perkara,
“Semua perlantikan dibuat selepas berunding dengan Dr Mahathir,” kata sumber yang enggan namanya disiarkan.
FMT semalam melaporkan aduan beberapa pihak dalam PPBM yang kecewa dengan sikap Muhyiddin suka bertindak bersendirian sehingga menyisihkan penyokong Dr Mahathir dalam parti itu.
Laporan itu turut memetik sumber yang meramalkan akan berlaku pemberontakan dalam PPBM yang tidak puas hati dengan cara kepimipinan Muhyiddin.
Menangkis dakwaan itu, sumber memberitahu Muhyiddin tertakluk kepada perlembagaan PPBM yang memerlukan beliau berbincang dengan pengerusi dalam sebarang jawatan kanan parti.
“Pihak yang membuat dakwaan itu berniat jahat dan hanya mahu mewujudkan salah faham antara Dr Mahathir and Muhyiddin.
“Tidak juga timbul isu orang Dr Mahathir diketepikan,” kata sumber menolak dakwaan itu.
Tambahnya, Muhyiddin juga menyokong perlantikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai naib presiden PPBM.
FMT yang memetik sumber semalam berkata corak kepimpinan Muhyiddin mengganggu perpaduan PPBM dan turut mengecewakan penyokong tegar Dr Mahathir, bekas naib ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Disebabkan ini, Khairuddin dikatakan mungkin menyertai PKR atau DAP meneruskan perjuangannya menentang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
“Beliau juga berhasrat membebaskan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan berusaha menyatukan kembali Dr Mahathir” bersama Anwar dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” kata sumber itu.
Baru-baru ini ketika berucap di London, Dr Mahathir berkata Muhyiddin akan dilantik sebagai perdana menteri sekiranya pakatan PPBM dan pembangkang lain menang pilihan raya akan datang.
Dr Mahathir bagaimanapun ia bergantung kepada persetujuan parti lain.
- FMT

Dr Mahathir tidak percaya Gani Patail

mahathir-gani
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak percaya dengan kenyataan Tan Sri Gani Patail yang mengatakan perdana menteri berhak menamatkan perkhidmatan peguam negara, dan pemberhentiannya mengikut aturan kerajaan.
Malah, pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu juga tidak percaya yang bekas peguam negara itu tidak dianiaya.
“Kenyataan ini amat berbeza dengan kenyataan yang dibuat sendiri olehnya sejurus selepas hilang jawatan. Oleh itu orang ramai yang tahu akan kepercayaan Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak) bahawa “Cash is King” menolak kenyataan baru ini.
“Mereka menjangka banyak dedak yang diguna, selain dari ugutan-ugutan. Mereka yang bersama Najib pun tidak percaya akan kenyataan baru Gani Patail, walaupun mereka tidak berani menyatakan apa yang terbuku dalam hati mereka,” kata Dr Mahathir di blognya hari ini.
Bekas perdana menteri itu menyifatkan kenyataan Gani sebahagian daripada usaha untuk memperbaiki imej Najib, yang dikaitkan kepada dakwaan melesapkan berbilion ringgit wang 1Malaysia Developmenet Berhad (1MDB).
Dr Mahathir menyamakan mereka kepada Menteri Propaganda Nazi Jerman, Joseph Gobbels.
“Sejak Najib dituduh melesapkan berbilion ringgit wang 1MDB (duit rakyat), ramailah Goebbels kecil yang ditugaskan memperbaiki imej Najib dengan berbagai jenis penjelasan dan dakwaan,” kata Dr Mahathir.
“Yang baru dan bukan terakhir ialah dakwaan oleh Gani Patail,” katanya lagi, namun menambah ia tidak akan dapat mengubah pandangan masyarakat terhadap Najib.
“Demikian kenyataan oleh Sirul (Azhar) yang lari ke Australia bahawa Najib tidak terlibat dengan pembunuhan Altantuya.
“Demikian juga dengan peralihan kesetiaan blogger Big Dog dan Rockybru. Mereka boleh nafi mereka telah dibeli, tetapi masyarakat semua faham sebab peralihan haluan oleh mereka.”
Bekas perdana menteri itu seterusnya berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Rahman Dahlan dan Setiausaha Akhbar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad kerana “menipu Najib bahawa kenyataan mereka berkesan”.
“Sebenarnya dengan pembohongan dan propaganda Najib, mereka (masyarakat) lebih yakin tuduhan-tuduhan terhadap Najib mempunyai asas yang kuat dan benar.”
- FMT

Mana boleh beri air kotor kepada pengguna, kata Exco jawab Noh Omar

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar diingatkan supaya tidak mempolitikkan masalah bekalan air negeri itu kerana tindakan beliau melibatkan kesihatan pengguna.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Zaidy Abdul Talib berkata kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan isu bekalan air di empat daerah Selangor yang terjejas.
“Noh Omar sebenarnya jahil apa yang berlaku. Kita terpaksa tutup loji (Rawatan Air Sungai Semenyih) disebabkan berlakunya pencemaran,” kata Zaidy.
“Takkan kita nak beri air kotor kepada pengguna. Dia (Noh) daripada dulu lagi cuba memanipulasi satu isu yang dia tidak jelas,” katanya 
Exco berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Noh yang mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali “sibuk berpolitik hingga lupa masalah rakyat”.
Menurut Noh, Kerajaan Selangor gagal menjaga kebersihan Sungai Semenyih yang menjadi sumber bekalan air yang penting sehingga berlakunya pencemaran.
Semalam Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata pihak berkuasa masih menyiasat sumber pencemaran itu, disyaki berpunca daripada sektor perindustrian berhampiran.
“Perlu faham kawasan loji itu amat luas dan proses pemulihan juga sedang dijalankan,” kata Zaidy.
“Kita juga sudah meminta orang ramai untuk laporkan segera jika mendapati ada unsur curiga yang menyebabkan pencemaran itu berlaku,” tambahnya.
Pencemaran di Loji Rawatan Air Semenyih menyebabkan penduduk di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak Jumaat. Mulai semalam bekalan air dilaporkan 96.7% pulih berdasarkan status syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).
Menurut Syabas, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya lewat tengah hari esok.
- FMT

Rafizi kata Maria Chin, Cynthia juga terima wang

rafizi-maria-xynthia
KUALA LUMPUR: Maria Chin Abdullah daripada Bersih 2.0 dan Cynthia Gabriel daripada Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4) tidak wajar mengkritik usaha Invoke kerana mereka juga pernah menerima wang untuk sesuatu.
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli berkata demikian mengulas Maria dan Cynthia yang mengkritik Invoke kerana memberi insentif wang tunai kepada yang mendaftar sebagai pengundi.
Rafizi merupakan penasihat kepada Invoke. Semalam, beliau mengumumkan ganjaran tunai sehingga RM1,000 setiap minggu untuk pemenang kempen pendaftaran pengundi Invoke.
“Siapa kamu untuk bercakap mengenai moral sedangkan, kamu tahu, kedudukan kamu juga boleh dipertikaikan.
“Saya guna wang sendiri. Mengatakan pemberian insentif ini sebagai menyedihkan serupa pukul curi…kerana saya tak kata apa pun bila mereka terima geran untuk berkempen.”
Awal hari ini, Maria yang juga pengerusi Bersih 2.0 berkata sebarang bentuk ganjaran untuk menggalakkan belia mendaftar sebagai pengundi adalah tindakan menyedihkan dan memberi mesej salah.
Cynthia, yang merupakan pengarah eksekutif C4 berkata cita-cita membentuk masyarakat berfungsi tidak boleh dikompromi dengan insentif tunai.
“Jika kamu pusing isu ini, yang kamu terima bayaran daripada geran untuk berkempen…bukankah itu lebih merumitkan keadaan berbanding memberi hadiah wang untuk mengalakkan orang pergi mengundi?” kata Rafizi.
“Apa yang saya cuba sampaikan adalah: hujah moral kamu itu boleh dipertikaikan, terutamanya jika kita tengok dari perspektif badan bukan kerajaan kerana lazimnya NGO seperti C4…saya tak pasti mengenai Bersih…terima geran kerana kami menjuarai kempen tertentu.”
- FMT

C4, Bersih 2.0 bidas Rafizi beri wang tarik belia jadi pengundi

Maria-Chin
PETALING JAYA: Ahli Parlimen tidak boleh menawarkan insentif tunai bagi menarik anak muda mendaftar sebagai pengundi, kata pemantau pilihan raya.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata demikian susulan tindakan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berjanji akan mengeluarkan simpanannya sebanyak RM300,000 untuk membantu kempen diketuai badan bukan kerajaan berkaitan PKR, Invoke.
“Saya rasa ia amat menyedihkan untuk sebuah NGO pergi sehingga tahap itu bagi memastikan anak muda mendaftar sebagai pengundi.
“Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan tindakan itu kerana rakyat sepatutnya mendaftar secara sukarela. Ini adalah hak anda dan pilihan raya umum hanya berlaku sekali dalam tempoh 5 tahun,” katanya.
Beliau menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap masalah itu, kerana ia adalah tanggungjawab suruhanjaya itu untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi.
“Kita perlu mempersoalkan SPR kerana ia adalah tugas mereka. Ia bukan tanggungjawab NGO untuk memberi wang bagi menarik pendaftaran.”
Maria berkata, Bersih 2.0 pernah mencadangkan satu sistem pendaftaran automatik sebagai pengundi bagi rakyat berusia 21 tahun ke atas, tetapi saranan itu tidak dipedulikan.
“Ketika ini, 4 juta orang dinafikan pendaftaran kerana SPR begitu perlahan. Kami sebenarnya perlu tanya suruhanjaya itu.
“SPR gagal dalam mendaftarkan pengundi dan ini sebenarnya melucutkan hak pengundi. Kami cuba memperkenalkan pendaftaran automatik, tetapi mereka tidak terimanya.”
Maria turut membidas SPR kerana kekurangan promosi berkesan untuk mendekati anak muda dan sistem sedia ada terlalu membosankan.
“Orang ramai yang ingin mendaftar perlu beratur di pejabat pos atau pergi ke pejabat SPR. Jadi, anda tidak beri orang banyak pilihan.
“Selain itu, adakah kita tahu di mana SPR mewujudkan kaunter pendaftaran dalam siri jelajah mereka? Kita tidak tahu kerana langsung tiada pengiklanan dalam surat khabar.”
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel menyifatkan tindakan memberi ganjaran tunai untuk mendaftar sebagai pengundi adalah langkah tidak baik.
“Jangan sekali-kali tawar tunai kepada pengundi muda. Nilai apakah yang kita sampaikan kepada golongan muda.
“Sebaliknya, Invoke perlu mendidik anak muda dengan demokrasi.
“Iklim politik sekarang mungkin menjijikkan bagi sesetengah orang. Tetapi, cita-cita membentuk masyarakat berfungsi tidak boleh dikompromi dengan insentif tunai.”
Semalam, media melaporkan belia hanya perlu memuat naik slip pendaftaran sebagai pengundi serta memberitahu Invoke sebab mereka mendaftarkan diri dan sertakan beberapa butiran peribadi untuk berpeluang mendapat ganjaran tunai.
Mereka yang memberi jawapan terbaik setiap minggu akan memenangi hadiah utama RM1,000 dan 2 naib juara akan mendapat RM500 serta 3 yang lain bakal diberikan RM200 setiap seorang.
Tinjauan dalam talian yang dilakukan Invoke menunjukkan ramai anak muda boleh dipujuk mendaftar sebagai pengundi, jika ada pihak menawarkan ganjaran wang.
- FMT