Thursday, 14 July 2016

Dakyah jihad, perjuangan IS dibimbangi ‘meyakinkan’


PETALING JAYA: Akhbar web yang diterbitkan IS dibimbangi mampu mempengaruhi belia Islam di negara ini, menurut seorang pensyarah, selepas dilaporkan sebuah laman Facebook yang hanya beberapa jam dibuka menerima lebih 200 “likes”.
Datin Dr Hasmah Zainuddin dari Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya, berkata polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) perlu segera mengecam mereka yang menekan “like” bagi Facebook seumpama itu.
Pagi semalam, FMT melaporkan Facebook akhbar propaganda Al-Fatihin menerima lebih 200 likes, hanya beberapa jam selepas ia dibuka selepas akaun sebelumnya ditutup berikutan aduan.
Sebelum ini, ia menerima lebih 1,000 likes.
Sebuah laman berita dengan kandungan sama juga didapati masih boleh diakses awal pagi semalam, tetapi kemudian disekat SKMM.
Hasmah melahirkan rasa terkejut dengan bilangan “likes” yang diterima laman itu.
“Siapa yang menekan ‘likes’ di laman tersebut’?” tanya beliau.
“Apa yang difikirkan mereka?”
Menurutnya, kandungan akhbar itu boleh meyakinkan dalam mempengaruhi minda umat Islam mengenai perjuangan dan jihad.
“Ia ditulis dalam bahasa yang meyakinkan, menyeru umat Islam tampil berjuang atas nama agama.
“Ia juga dalam Bahasa Melayu. Saya bimbang ini boleh menarik ramai orang Melayu di luar bandar yang merasakan adalah menjadi tanggungjawab mereka berjuang demi Islam.”
Hasmah menyeru pihak berkuasa sentiasa bekerjasama dengan Facebook dalam memantau laman seumpama itu, malah perlu dicam mereka yang menyokong akaun kendalian IS.
Beliau mencadangkan pihak berkuasa mewujudkan laman menepis hujah ideologi melampau dan menjelaskan kesan daripada penglibatan dalam kumpulan militan, bagi memastikan umat Islam mematuhi ajaran sebenar agama.
Surat berita IS berbahasa Melayu baru-baru ini muncul dalam format PDF.
Edisi pertama bulan Ramadan lalu memuatkan 20 halaman yang turut mengandungi infografik propaganda kejayaan IS sepanjang dua bulan sebelumnya.
Muka depannya pula menyiarkan petikan pemimpin IS Abu Hamza al-Muhajir (juga dikenali sebagai Abu Ayyub al-Masri) yang menggesa pembaca menangkap dan membunuh “orang musyrikin di mana saja mereka dijumpai”.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, DatuK Seri Ahmad Zahid Hamidi turut memberi amaran terhadap mereka yang melayari laman web akhbar itu.
“Saya menyeru orang ramai supaya tidak melayari dan melakukan pencetakan kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.
- FMT

No comments: