Friday, 22 July 2016

Jangan buat andaian kerana Najib tidak dinamakan


PETALING JAYA: Peguam Negara merasa khuatir melihat khabar angin dan dakwaan terhadap Perdana Menteri susulan tindakan undang-undang yang dipohon Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) semalam.

Mengambil maklum ianya merupakan tindakan sivil (civil action) terhadap harta benda (in rem) supaya aset-aset yang dikaitkan kepada dakwaan pengubahan wang yang dilesapkan daripada 1MDB, Tan Sri Mohamed Apandi Ali ingin mengingatkan orang ramai bahawa Datuk Seri Najib Razak tidak dinamakan mahupun dituduh atas sebarang salahlaku.

“Peguam Negara mahu menjelaskan bahawa tuntutan sivil yang dibuat DoJ Amerika Syarikat tidak sama sekali menamakan Perdana Menteri sebagai defendan, atau mendakwa Perdana Menteri melakukan sebarang salahlaku jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, Apandi menekankan setakat ini, “tidak ada pendakwaan jenayah diadakan terhadap mana-mana individu untuk salahlaku melesapkan dana daripada 1MDB.”

Semalam, DoJ memfailkan saman yang menyiasat dakwaan lebih AS3.5 bilion (RM14.17 bilion) dilesapkan daripada 1MDB.

Dalam saman yang difaikan di Los Angeles itu, DoJ berkata mereka mahu merampas aset-aset yang “terbabit dalam atau boleh dikesan kepada suatu konspirasi untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

DoJ mendakwa kesalahan itu dilakukan sepanjang tempoh empat tahun dan melibatkan pelbagai individu, termasuk pegawai-pegawai warga Malaysia dan rakan-rakan mereka, yang berkonspirasi untuk melencongkan berbilion dolar dengan tipuan daripada 1MDB.

Ia secara khusus menamakan Riza Aziz, yang merupakan anak tiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Low Taek Jho (lebih dikenali sebagai Jho Low), dan pegawai kerajaan Abu Dhabi Khadem al-Qubaisi dan Mohamed Ahmad Badawy al-Husseiny.

Rampasan aset bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.05 bilion) oleh DoJ itu, rampasan terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat, dijangka melibat harta benda dan aset-aset lain yang dibeli dengan wang yang didakwa dilesapkan daripada 1MDB.

- FMT

No comments: