Friday, 22 July 2016

Malaysia alu-alukan siasatan negara asing bantu selesai isu 1MDB

PETALING JAYA: Malaysia mengalu-alukan siasatan pihak berkuasa negara lain bagi membantu kerajaan mencari penyelesaian terhadap isu 1MDB, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
“Kita tidak boleh halang sekiranya mereka nak buat siasatan. Bagi saya, kalau mereka siasat boleh membantu kita mencari penyelesaian dan mereka yang dikenal pasti dibawa ke muka pengadilan nanti, perdana menteri sendiri menyatakan tiada siapa boleh meletakkan diri mereka melebihi undang-undang.
“Ini termasuk undang-undang di negara-negara berkaitan sama ada di Switzerland, Amerika Syarikat atau Singapura,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Ramah Mesra Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bersama Menteri Pertahanan di ibu negara, hari ini.


Kelmarin, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman untuk menyita aset-aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dibeli dengan wang dipercayai dilesapkan daripada 1MDB.
Ia disusuli tindakan Singapura menyita aset bernilai S$240 juta (RM710 juta) dan pihak berkuasa Switzerland merampas tiga karya terkenal yang dilukis Van Gogh dan Monet atas pemintaan Amerika.
September lalu, FBI membuka kertas siasatan terhadap 1MDB dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram, lapor The Wall Street Journal.
Siasatan negara luar tertumpu kepada entiti berkaitan 1MDB yang ditubuhkan Najib pada 2009 untuk menjana ekonomi negara.
Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan pernah membuat laporan polis di Paris, London, Switzerland, Hong Kong dan Singapura berhubung pemindahan wang ke akaun Najib.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berharap siasatan DoJ ke atas 1MDB tidak dipolitikkan mana-mana pihak termasuk pembangkang, kerana rakyat boleh menilai sendiri tujuan dan matlamat mereka.
“Kalau ada pihak tertentu nak menunding jari pada perdana menteri, boleh fikir sendiri sama ada ia merupakan retorik politik atau betul-betul nak cari keadilan dan penyelesaian dalam isu 1MDB.
“Pada saya, isu 1MDB merupakan satu perkara serius perlu ditangani kalau nak yakinkan rakyat. Tetapi cara kita nak lalui proses itu mesti berlandaskan lunas-lunas secara rasional dan bukannya beremosi.
“Dalam kita nak cari keadilan, jangan ada pihak-pihak berdosa jadi mangsa termasuk pemimpin-pemimpin negara,” katanya.
- FMT

No comments: