Tuesday, 12 July 2016

'Mohd Shafie patut sabar'


SHAH ALAM - Tindakan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meninggalkan Umno disifatkan sebagai terburu-buru sedangkan siasatan jawatankuasa Majlis Tertinggi (MT) terhadapnya masih berjalan.

Ahli MT Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya Mohd Shafie bersabar sedikit mungkin beliau masih lagi naib presiden Umno dan memegang jawatan dalam Kabinet.
“Jawatankuasa Disiplin Umno hanya menggantung sementara jawatan beliau bagi membolehkan kertas siasatan kesalahan dijalankan. Kita tak pecat beliau lagi, baharu gantung untuk siasat.

“Tapi umum maklum kesalahan yang dilakukan Mohd Shafie begitu terserlah iaitu beberapa kali berkongsi pentas bersama pembangkang dan terlibat dalam gerakan anti-Najib (Deklarasi Rakyat),” katanya, semalam.

Kelmarin, Mohd Shafie mempersoalkan keputusan MT Umno yang menggantung keahliannya tanpa sebarang siasatan dan perbincangan ketika beliau mengerjakan umrah.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mendakwa mesyuarat MT tidak pernah membincangkan berkenaan pemecatan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta status penggantungan Mohd Shafie.

"Sebaliknya (mesyuarat) hanya sentuh mengenai pilihan raya kecil (PRK). Cuma keputusan itu hanya dibuat pada mesyuarat 24 Jun lalu," katanya.

Seorang lagi ahli MT Umno, Datuk Shamsul Anuar Nasarah turut mempersoalkan tindakan Mohd Shafie mengumumkan keluar parti sebelum selesai siasatan.
“Kenapa tidak tunggu jawatankuasa disiplin selesai siasat?
“Jadi nasihat saya kepada Mohd Shafie tak perlulah lagi mempersoalkan apa-apa lagi berkaitan Umno kerana beliau bukan lagi ahli Umno,” katanya.

Ahli Parlimen Lenggong itu berkata, apabila tindakan diambil ke atas seseorang ia bukan bermakna Umno tidak menghargai jasanya.

“MT Umno tidak pernah mempersoalkan jasa dan sumbangan Mohd Shafie kepada parti sebelum ini. Kita hargainya namun harus diingat sebagai ahli atau pemimpin Umno sebesar mana pun jasa dan sumbangan kita kepada parti ia tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar peraturan dan undang-undang parti.

“Jika Mohd Shafie bersabar sementara siasatan dijalankan mungkin beliau berpeluang dipanggil untuk membela diri,” katanya.
Jelasnya, Umno bersedia menghadapi sebarang situasi kesan daripada tindakan yang diambil, termasuk di Semporna.

- SH

No comments: