Tuesday, 12 July 2016

Muhyiddin: Najib mungkir janji terus rahsiakan audit 1MDB


PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengingatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak janjinya setahun lalu untuk mengumumkan keputusan siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB.

Bekas timbalan perdana menteri itu merujuk kenyataan Najib dalam blognya sebelum ini.
“Tolonglah, jangan buat spekulasi dan kesimpulan, tanpa menggunakan maklumat yang akan dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, yang mengandungi laporan terperinci tentang kewangan 1MDB,” Muhyiddin memetik bekas bosnya sebagai berkata pada Mei tahun lalu.

“Malangnya, Najib telah memungkiri janjinya kepada rakyat. Bukan sahaja Laporan Ketua Audit Negara tidak didedahkan kepada umum, malah telah diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972,” kata Muhyiddin dalam kenyataannya hari ini.

Sejak minggu lalu, laman pendedah maklumat Sarawak Report mula menerbitkan apa yang didakwanya salinan laporan audit 1MDB yang bocor, yang menurutnya membuktikan pengurusan kewangan lemah dan kucar-kacir dalam syarikat milik Kementerian Kewangan itu, di samping kehilagan dana sehingga RM7 bilion.

Ia disusuli dengan gesaan supaya siasatan dilakukan mengenal pasti dalang yang membocorkan dokumen berkenaan.

Muhyiddin, yang dipecat daripada kabinet pada Julai tahun lepas selepas mengkritik Najib dalam isu 1MDB, melahirkan rasa terkilan dengan tindakan kerajaan terus merahsiakan laporan audit itu.
Katanya, di bawah perlembagaan, Ketua Audit Negara perlu menyerahkan laporannya kepada Agong sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Adakah kerajaan mempunyai kuasa melebihi kuasa yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menutup hasil siasatan Ketua Audit Negara daripada pengetahuan rakyat?” tanya beliau.
Muhyiddin turut membidas pihak yang menuduh pembocor laporan itu sebagai pengkhianat.
“Siapakah pengkhianat sebenarnya? Orang yang mendedahkan salah laku 1MDB atau orang yang merompak wang negara menerusi transaksi 1MDB dan kemudian menutup kesalahan mereka daripada diketahui oleh rakyat?”

Beliau menuntut agar Najib segera tampil tanpa berselindung di sebalik OSA.
“Jika dia (Najib) seorang yang benar-benar ikhlas, budiman dan berani mencari kebenaran, ubah (declassify) segera status rahsia rasmi Laporan Akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB dan dedahkan hasil siasatan untuk tatapan rakyat. Usah berdolak dalih lagi.”

- SUMBER

No comments: