Friday, 15 July 2016
Najib wajib dedah laporan audit 1MDB, kata Azmin
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini menggesa Putrajaya segera mengubah status rahsia laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB.
“Kita perlu ingat bahawa mendedahkan kebenaran di sebalik skandal 1MDB yang maha besar ini bukannya satu permainan politik. Ia adalah satu tanggungjawab yang wajib dipikul semua pemimpin dalam kerajaan atau pembangkang,” kata Azmin.
Portal Sarawak Report baru-baru ini menerbitkan laporan audit yang dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) itu, dengan mendakwa kehilangan dana dan pengeluaran wang mencecah AS$7 bilion dari syarikat milik Kementerian Kewangan itu.
Ia disusuli dengan gesaan beberapa pemimpin kerajaan supaya dalang di sebalik kebocoran dokuman itu diambil tindakan.
Azmin menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera mengubah status rahsia itu demi “ketelusan, kebertanggungjawaban dan tatakelola yang baik”.
“Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengukuhkan lagi anggapan tentang kewujudan konspirasi peringkat tertinggi untuk melindungi skandal 1MDB,” katanya.
Katanya, ugutan mendakwa mereka yang membocorkan laporan itu hanya menunjukkan sikap angkuh kerajaan.
“Ketelusan adalah ibarat cahaya matahari, yang diyakini ramai sebagai pencegah kuman terbaik bagi melawan penyakit rasuah serta urus niaga yang meragukan,” kata Azmin.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment