Friday, 22 July 2016
Nazir Razak bandingkan langkah AS dengan sekatan The Edge
KUALA LUMPUR: Pengerusi Kumpulan CIMB Datuk Seri Nazir Razak semalam menbuat perbandingan sekatan kerajaan ke atas The Edge tahun lalu, dengan berkata kesalahan akhbar itu ialah menyatakan perkara sama yang didakwa Jabatan Penghakiman Amerika Syarikat ke atas 1MDB.
Menulis di laman Instagram, adik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu menyiarkan muka depan akhbar niaga yang digantung permit penerbitannya selama tiga bulan.
Nazir menulis, betapa artikel bertajuk ‘Bagaimana Jho Low dan PetroSaudi menipu Malaysia dengan RM1.83b tunai (dan keuntungan kertas RM400 juta juta) dengan bantuan dari eksekutif 1MDB’ kini diulangi oleh Peguam Negara AS dalam tindakan undang-undang bagi menyita aset berkait 1MDB Rabu lepas.
“Tepat 12 bulan yang lalu, tajuk ini menyebabkan mereka digantung.
“Hari ini, Peguam Negara AS mengatakan perkara yang hampir sama,” tulis Pengerusi Kumpulan CIMB itu malam tadi.
Jabatan Kehakiman AS melalui saman sivil difailkan di Los Angeles mendakwa lebih daripada AS$3.5 bilion disalahgunakan firma pelaburan negara 1MDB.
Jabatan itu kini dalam usaha merampas aset termasuk penthouse, rumah, karya seni, jet peribadi dan hasil keuntungan filem “Wolf of Wall Street” terbitan anak tiri Najib, Riza Aziz, yang turut dinamakan dokumen itu.
“Demokrasi bukan hanya tentang pilihan raya, ia juga tentang integriti institusi, kedaulatan undang-undang dan kebebasan media,” katanya.
Muat naik status mendapat lebih 1,500 “likes” pagi tadi dan diikuti gesaan supaya Nazir membantu memastikan keadilan dicapai.
Azizjohari menulis, “Kami harap anda menjadi Perdana Menteri Malaysia. Malaysia Official1 adalah satu penghinaan kepada negara dan semua rakyat Malaysia. Dan Riza Aziz pula saudara rapatnya,” katanya, merujuk kepada individu yang disebut dalam tindakan undang-undang DOJ sebagai Malaysia Official1.
Walaupun tiada nama yang didedahkan, ramai membuat spekulasi orang di sebalik “Malaysia Official One” terutama selepas mengaitkannya dengan Riza.
Seorang lagi pengguna Instagram, syirinj, berkata: “Tolong Sir, tolong nasihat saudaramu untuk membersihkan diri dan meletakkan jawatan jika dia masih mempunyai integriti dan jika dia benar-benar mahu untuk Malaysia ke arah yang betul, beliau perlu meletak jawatan..”
Nazir secara aktif menyuarakan kontroversi berkaitan firma pelaburan negara dan pada bulan Mei, beliau menyelar eksekutif tertinggi 1MDB kerana gagal hadir pada perbicaraan Jawatankuasa Kira-Kira (PAC).
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment