SHAH ALAM: Operasi Qistna Express Sdn Bhd, syarikat bas ekspres yang terbabit dengan kemalangan membabitkan 10 kenderaan berhampiran Terowong Menora, Ahad lalu, digantung selama sebulan berkuat kuasa serta merta.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Mohd Azharuddin Mat Sah berkata penggantungan itu melibatkan lesen serta 26 permit bas yang dipegang oleh Qistna Express.
Katanya, tindakan itu diambil akibat pelanggaran syarat-syarat keselamatan mandatori berdasarkan laporan audit SPAD terhadap syarikat berkenaan bertarikh 12 Julai 2016.
"Tindakan ini diambil sementara menunggu hasil siasatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) mengenai kemalangan membabitkan bas ekspres itu yang sedang dijalankan," katanya.
Menurut Mohd Azharuddin, SPAD percaya tindakan penggantungan lesen dan permit Qistina Express diharap akan menjadi pengajaran kepada pengendali bas ekspres lain supaya mematuhi Kod Amalan Industri (ICOP) suruhanjaya itu pada setiap masa.
"SPAD ingin sekali lagi menegaskan bahawa suruhanjaya ini memandang serius pematuhan keselamatan mandatori oleh pengusaha bas ekspres," katanya.
Beliau berkata SPAD turut memberi jaminan kepada orang ramai bahawa pihaknya akan terus bekerjamsama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk memastikan pengusaha bas ekspress supaya mengutamakan keselamatan penumpang.
"SPAD akan terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memastikan kenderaan mereka beroperasi dalam keadaan baik dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dan keselamatan jalan raya," katanya.
Dalam kejadian di kilometer 265.8 Lebuh Raya Utara-Selatan, 10 Julai lalu, bas ekspres milik Qistna Express Sdn Bhd merempuh sembilan kenderaan lain ketika meneruni cerun, dipercayai hilang kawalan ekoran kegagalan fungsi brek.
Dua dilaporkan cedera dalam insiden berkenaan.
- AP
No comments:
Post a Comment