Monday, 8 August 2016

Anjur Bersih 5.0 taktik kotor pembangkang

Irmohizam Ibrahim
SHAH ALAM - Agenda Bersih 5.0 merupakan satu taktik kotor pembangkang bagi menggulingkan kerajaan di samping mewujudkan provokasi kepada rakyat untuk membenci pemimpin dan dasar kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata, pembangkang dilihat cuba mencemarkan sistem demokrasi negara ini dengan mewujudkan elemen-elemen menghasut bagi mempertikaikan kerajaan yang dipilih rakyat.

“Siri-siri perhimpunan Bersih lalu hanya mengakibatkan kerosakan harta benda, kesesakan lalu lintas, urusan perniagaan terganggu dan ancaman keselamatan yang mungkin boleh terjadi tanpa diduga.

“Pengerusi Bersih, Maria Chin Abdullah harus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas sebarang kemungkinan termasuk perhimpunan Bersih 5.0 ini yang dikhuatiri bertukar menjadi liar dan ganas termasuk membayar segala ganti rugi atas kerugian ekonomi penjaja serta kerosakan harta awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Irmohizam yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Selangor turut memaklumkan bahawa Bersih 5.0 diadakan bukannya demi rakyat namun bagi menjaga kepentingan politik pihak pemimpin pembangkang.

Beliau berkata, pembangkang sedang mencuba sedaya upaya untuk menjatuhkan pemimpin tertinggi negara bagi mengalihkan beberapa isu yang membabitkan mereka sebelum ini.

“Mereka ingin menjatuhkan pemimpin tertinggi negara supaya dapat mengalihkan perhatian daripada isu skandal banglo dan tanah yang dihadapi Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng serta isu masalah air, sampah sarap tidak diuruskan dengan baik, dan Paya Indah Wetland di Selangor,” katanya.

Malah kata Irmohizam, sekiranya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut serta dalam Bersih 5.0, maka beliau dilihat telah melanggar prinsipnya selama ini.

Katanya, sebelum ini Mahthir pernah menyatakan bahawa perhimpunan jalanan bukannya merupakan langkah terbaik bagi memberi tekanan dan protes kepada kerajaan sedia ada.

“Rakyat harus menilai kebaikan dan keburukan dalam agenda sesuatu perhimpunan yang dibawa.

“Sebenarnya negara kita perlu diselamatkan daripada individu atau kumpulan yang cuba mem prejudis sistem demokrasi,” katanya.

No comments: