Monday, 8 August 2016

'Hukuman tak memadai, perlu budaya benci rasuah'

Undang-undang semata-mata tidak dapat membanteras kegiatan rasuah secara menyeluruh, pesan timbalan menteri kepada pelajar-pelajar universiti.

“Dalam soal rasuah, undang-undang dan hukuman tidak memadai malah budaya benci kepada perlakuan rasuah perlu diwujudkan,” jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Razali berkata demikian dalam sebuah konvensyen antirasuah anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), universiti dan kumpulan alumni pelajar.

Tambah beliau, peserta Konvensyen Sekretariat Pencegahan Rasuah ke-6 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak itu, merupakan ejen komunikator terpenting dalam menyampaikan mesej antirasuah.

Konvensyen itu yang masuk kali keenam tahun ini melibatkan penyertaan 20 institut pengajian tinggi awam, institut pendidikan guru (27) dan Institut Pendidikan Tinggi MARA (59).

Seramai 500 mahasiswa seluruh negara menyertai acara empat hari tiga malam bermula Jumaat lalu itu.

Bertemakan Mahasiswa Pencetus Gelombang Transformasi Belia Berintegriti, konvensyen tersebut bertujuan untuk menjadikan golongan belia sebagai penyampai utama mesej antirasuah.

Konvensyen itu dirasmikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad pada 6 Ogos lalu.

Ia lawatan kerja rasmi pertama beliau setelah dilantik menerajui SPRM pada 1 Ogos lalu.

Resolusi: Didik pelajar berani sampai maklumat

Sementara itu, revolusi konvensyen pula menyeru supaya mahasiswa harus dididik supaya berani tampil ke hadapan untuk menyampaikan maklumat berhubung rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Selain itu, mereka harus bertindak sebagai ejen penghubung antara SPRM dan masyarakat dalam usaha itu.

Perkara itu antara lima resolusi dicapai dalam sebuah konvensyen antirasuah anjuran SPRM dan kumpulan alumni pelajar.

Dalam kenyataan SPRM hari ini, suruhanjaya itu berkata resolusi lain dalam Konvensyen Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) Ke-6 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, termasuk:
Elemen integriti dan antirasuah dapat diserapkan dalam pembangunan kurikulum seluruh institut pengajian tinggi di Malaysia.

Melahirkan masyarakat dan pelajar yang mengamalkan sikap sederhana bagi menangkis budaya negatif kepada diri dan masyarakat dalam memerangi rasuah.

No comments: