Monday, 8 August 2016

'Jho Low' ikat perut nak beli motor RX-Z

Pelanduk dua serupa profil Facebook tipu?

Begitu mungkin persoalan yang bermain di minda pembaca jika meneliti sisipan gaya hidup sebuah harian berbahasa Melayu hari ini.

Ia memaparkan gambar jutawan kontroversi Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, tetapi menggunakan nama “Tung Tai Yiek”.

Lebih ironi, 'Jho Low' yang terkenal dengan gaya hidup mewah dan berparti sakan dengan artis Hollywood itu dikatakan pernah mengikat perut semata-mata untuk membeli kenderaan kegemaran.

“Sama saja zaman dulu pun. Dulu aku sanggup ikat perut semata-mata nak pakai (motosikal Yamaha) RX-Z dan (kereta Honda) Civic.

“Dah kahwin fokus pada anak sajalah. Rumah pun baru beli.

“Sekarang pakai (Proton) Preve dan motosikal (Yamaha) Lagenda saja. Jangan ikut perasaan, kena tahu membezakan antara keperluan dan kemahuan,” Tung dipetik sebagai berkata oleh harian itu.

'Biar lapar asal bergaya'

Tulisan itu dimuatkan sebagai sebahagian daripada tinjauan pendapat pengguna Facebook akhbar itu berkaitan gaya hidup berjimat demi membeli barangan idaman, seperti aksesori mewah dan telefon pintar.

Selain Tung, empat lagi komen turut dipetik dan dimuatkan dalam ruangan yang menyasarkan pembaca muda itu.

Artikel itu bertajuk “Biar lapar asal bergaya”.

Sementara itu, semakan Malaysiakini di Facebook mendapati pengguna Internet itu memperkenalkan dirinya berkhidmat di sebuah bank terkemuka di Subang Jaya.

Beliau juga memperkenalkan diri berkhidmat di sebuah universiti awam di Lembah Klang dan berasal dari Johor Bahru.

Statusnya tidak ditunjukkan kepada awam dan hanya untuk rakan di Facebook sahaja.

Gambar profilnya itu menggunakan gambar Jho Low berjaket gelap dan bertali leher biru berbelang-belang.

Jhow Low adalah individu yang menjadi perhatian dunia politik dan kewangan, terutama apabila namanya disebut dalam saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ), Amerika Syarikat (AS).

DOJ antaranya mahu menyita lebih AS$ bilion aset berkaitan 1MDB, selain mendakwa sekurang-kurangnya RM3.5 bilion diseleweng daripada dana kekayaan Malaysia itu.

No comments: