Wednesday, 3 August 2016

NUJ Utusan lega, gaji dah masuk walaupun lewat

Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Utusan Melayu mengesahkan bahawa ahli-ahlinya yang adalah kakitangan bukan eksekutif Kumpulan Utusan telah menerima gaji sepenuhnya bagi bulan Julai sebentar tadi.

Justeru, NUJ Utusan Melayu menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan akan diambil oleh pihak kesatuan setelah pihak pengurusan menunaikan janji mereka dalam isu kelewatan bayaran gaji berkenaan.

Sambil melahirkan rasa lega perkembangan itu, NUJ Utusan Melayu berkata, kesatuan merakamkan ucapan terima kasih kepada pengurusan terutama Pengarah Urusan kumpulan itu, Datuk Noordin Abbas kerana menunaikan janji yang dibuat kepada kesatuan.

"Pada masa yang sama, NUJ Utusan Melayu berharap perkara seperti ini tidak akan berulang di masa depan," katanya ketika dihubungi oleh Malaysiakini, pagi ini.

Gaji kakitangan bukan eksekutif syarikat itu sepatutnya dibayar dua kali sebulan, bayaran gaji bulanan pertama ialah pada pertengahan bulan manakala pembayaran kedua pula pada hari terakhir setiap bulan.

Semalam, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang popular dengan panggilan Zam mendedahkan syarikat itu sedang 'sakit' setelah kelewatan pembayaran gaji diumumkan pada 21 Julai lalu.

Dalam reaksi segeranya semalam berhubung pendedahan oleh Zam itu, NUJ Utusan menyebut mereka berdiri teguh di belakang kepimpinan Noordin kerana percaya usaha yang dilakukan bagi menyelamatkan syarikat.

Kesatuan turut menyedari “bukan senang nak bersihkan tahi” yang dilakukan kepimpinan tertinggi sebelum ini.

Mengulas lanjut, NUJ Utusan Melayu menambah, pihak bersatuan berharap syarikat dapat 'diselamatkan' dengan melakukan usaha membaik pulih kedudukan kewangannya dengan seberapa segera.

"NUJ Utusan Melayu berharap kerja-kerja "pembersihan tahi" yang ditinggalkan oleh kepimpinan tertinggi sebelum ini dapat terus dijalankan sehingga syarikat mampu mengukuhkan semula kedudukan kewangannya," ujarnya.

Sementara itu, sumber yang dekat dalam hal itu memberitahu, keadaan dan sentimen di kalangan pekerja syarikat itu masih terkawal walaupun ramai yang telah melahirkan kesangsian terhadap masa depan akhbar berbahasa Melayu milik Umno itu.

"Ya, keadaan masih terkawal, semua masih bertenang tetapi telah kedengaran bunyi-bunyi kurang menyenangkan dari kalangan pekerja mengenai kemampuan membayar gaji di masa depan," jelas sumber itu.

Kesatuan itu mewakili hampir 300 anggota yang terdiri daripada wartawan, jurugambar dan artis grafik yang menjadi nadi jabatan pengarang akhbar-akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia dan Kosmo!.

Beberapa tahun yang lalu, Utusan membuang kerja dua pemimpin NUJ, Hata Wahari dan Amran Ahmad yang lantang mengkritik isu kebebasan media dan pengurusan syarikat.

No comments: