Tuesday, 12 July 2016

Bayar RM20,000 untuk beli pasport palsu Malaysia


BANGKOK: Keistimewaan yang dinikmati pemegang pasport Malaysia menjadikan ia antara dokumen perjalanan yang mendapat permintaan tertinggi daripada ‘pelanggan’ sindiket pasport palsu, kata Biro Imigresen Thailand.
Pesuruhjaya biro itu, Lt Jen Pol Nathathorn Prousoonthorn berkata, keistimewaan dan faedah dinikmati pemegang pasport Malaysia, khususnya pengecualian daripada mendapatkan visa, menjadikannya amat menarik dalam kalangan pengguna pasport palsu.
“Seperti yang kita ketahui, rakyat Malaysia (pemegang pasport Malaysia) tidak perlu memohon visa untuk melakukan perjalanan ke beberapa negara termasuk Thailand kerana mereka dikecualikan daripada visa.
“Inilah yang menyebabkan pasport Malaysia menjadi sasaran sindiket pasport palsu (yang beroperasi di Thailand), terutamanya untuk pelanggan mereka dari negara tertentu,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.
‘Daya tarikan’ yang dimiliki pasport Malaysia itu menyebabkan ia mendapat ‘sambutan hangat’ terutamanya daripada rakyat negara Asia Selatan seperti Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka dan China.
Nathathorn berkata, persamaan dari segi rupa paras dan fizikal antara rakyat Malaysia dengan rakyat negara Asia Selatan dan China meningkatkan lagi populariti pasport Malaysia dalam kalangan pengguna pasport palsu.
“Mereka dengan mudah boleh disangka rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam dua kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiangmai dan Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi, Bangkok baru-baru ini, seorang lelaki Sri Lanka dan seorang lelaki China ditahan kerana memiliki pasport palsu Malaysia.
Ini merupakan trend membimbangkan khasnya ketika dunia bergelut dengan ancaman kumpulan pengganas IS yang semakin berleluasa.
Kejadian pertama berlaku pada 14 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Chiangmai apabila lelaki Sri Lanka berusia 22 tahun ditangkap pegawai Imigresen Thailand kerana memiliki pasport Malaysia palsu sebelum dia sempat menaiki pesawat menuju ke Hong Kong dan kemudian ke Zurich.
Siasatan lanjut mendapati ‘pasport’ yang digunakan lelaki itu pada asalnya adalah milik seorang wanita Malaysia yang dilaporkan hilang.
Kejadian kedua berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada 25 Mei lalu apabila pegawai Imigresen Thailand menahan seorang lelaki China yang membawa pasport Malaysia palsu ketika mereka melakukan pemeriksaan rutin sebelum dia sempat menaiki pesawat ke Tokyo.
Siasatan mendapati lelaki itu memasuki Thailand melalui kawasan sempadan di Mae Sai, utara Thailand, tiga tahun lalu dan lelaki berkenaan mengaku dia membayar US$6,000 untuk membeli pasport itu di Internet.
Menurut Biro Imigresen Thailand, dua kejadian berkenaan melibatkan pasport Malaysia yang disenaraikan sebagai hilang dan diguna semula dengan dimasukkan butiran pengenalan baharu bagi menggantikan butiran pemilik asalnya.
Sementara itu, satu sumber keselamatan memberitahu Bernama, pihak berkuasa Thailand menahan lebih 60 individu daripada pelbagai negara tahun lalu kerana menggunakan pasport Malaysia palsu untuk ke beberapa negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
Beliau berkata, pemegang pasport Malaysia tidak wajib mendapatkan visa sebelum memasuki negara anggota EU, jadi mereka membawa pasport Malaysia yang disenaraikan sebagai hilang, tetapi diguna semula dengan butiran identiti baharu.
Sumber itu yang enggan didedahkan identitinya berkata, ‘pelanggan’ sanggup membayar harga tinggi untuk pasport palsu Malaysia.
“Lazimnya, mereka membayar lebih RM20,000 untuk membeli pasport Malaysia palsu, tetapi (harganya) juga bergantung kepada sindiket yang menjualnya,” katanya.
Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada langkah menyekat penggunaan pasport palsu Malaysia, pegawai Imigresen Thailand melakukan pemeriksaan lebih ketat terhadap pemegang pasport Malaysia, termasuk menguji pengetahuan dari segi Bahasa Malaysia asas dan maklumat am tentang Malaysia.
Februari lalu, pihak berkuasa Thailand melumpuhkan satu sindiket utama yang terlibat dengan kegiatan pemalsuan pasport berikutan penangkapan seorang rakyat Iran, Hamid Reza Jafari, 48, yang lebih popular dengan panggilan ‘The Doctor’ dan merampas lebih 173 pasport palsu pelbagai negara untuk pelanggan yang ingin ke Australia dan negara-negara Eropah.
- Sumber

No comments: