PUTRAJAYA: Hakikat Tun Dr Mahathir Mohamad perlu menubuhkan parti sendiri membuktikan parti pembangkang tidak mahu bekas perdana menteri itu yang dianggap liabiliti kepada mereka.
“Saya berasa sedih kerana ini bermakna pembangkang tidak mahukan beliau dalam parti mereka, mungkin kerana mereka menganggap beliau liabiliti,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dalam satu sidang media hari ini.
Semalam, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sebuah parti baharu yang mungkin diketuai Dr Mahathir dan dianggotai bekas pemimpin Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan Barisan Nasional.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu turut berseloroh mengenai jawatan yang bakal dipegang bekas pemimpin Umno dalam parti baharu itu.
“Muhyiddin akan jadi timbalan, Mukhriz sebagai ketua pemuda, (bekas Ketua Wanita Umno) Rafidah Aziz sebagai ketua wanita dan Khairuddin jadi budak bancuh teh.
“Menurut Khairuddin, beliau turut akan mempelawa mereka yang tidak berpuas hati dengan Umno, jadi sekarang ada rumah baharu untuk mereka,” katanya yang meramalkan prestasi parti baharu itu lebih teruk daripada Semangat 46 yang ditubuhkan bekas pemimpin Umno.
“Jika lihat prestasi Mahathir ketika Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini, semua tempat yang beliau pergi untuk meraih undi Cina, mereka akhirnya memberi undi itu kepada kami.
“Beliau sebenarnya membantu kami dan itu baik untuk BN,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Umno tidak pernah menghalang Dr Mahathir menubuhkan parti baharu, kerana Malaysia ialah sebuah negara demokrasi dan setiap orang berhak menubuhkan parti sendiri.
“Sebenarnya dah banyak parti ditubuh sebelum ini. Semangat 46 yang pernah dianggap terkuat pimpinan Tengku Razaleigh Hamzah tapi tak mampu kalahkan Umno.
“Datuk Seri Anwar Ibrahim tokoh yang amat kuat masa beliau jadi timbalan perdana menteri tubuhkan PKR…masih tak mampu gugat Umno.
“Jadi dalam negara kita bebas masing-masing nak tubuh parti, tubuhlah. Sedangkan Mat Sabu pun rasa layak dia tubuh parti dia,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu dalam sidang media di kementeriannya hari ini.
- FMT
No comments:
Post a Comment