Thursday, 14 July 2016

Polis nafi keganasan kaum pada 16 September


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan khabar angin kononnya keganasan kaum akan tercetus semasa sambutan Hari Malaysia pada September nanti.
Sehubungan itu, PDRM memberi amaran individu yang bertanggungjawab menyebarkan khabar angin itu akan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan perbuatan berbaur hasutan dan penggunaan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.
“PDRM ingin menegaskan mesej itu tidak berasas dan disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan merosakkan keharmonian kaum dan menggugat ketenteraman awam,” kata Ketua Komunikasi Korporat PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad dalam kenyataan hari ini.
Khabar angin yang disebarkan melalui media sosial itu turut meminta orang bukan Melayu supaya menyimpan bekalan makanan dan keperluan lain bagi menghadapi kejadian yang dikatakan akan berlaku pada 16 September nanti.

- FMT

No comments: