Thursday, 14 July 2016

Protes Pemuda Umno demi pertahan maruah Melayu


PUTRAJAYA: Pemuda Umno tidak boleh dipersalahkan atas tindakan mengadakan protes terhadap wakil rakyat DAP, Nga Kor Ming semalam kerana mereka sekadar mempertahankan integriti dan maruah orang Melayu.
Sebaliknya, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa polis mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Taiping itu yang menghina sambutan Aidilfitri melalui status di laman sosial Facebooknya.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu berkata, Ahli Parlimen Taiping itu sepatutnya lebih berhati-hati ketika membuat kenyataan bagi mengelakkan tersinggung perasaan kaum lain di negara majmuk ini.
“Saya pun rasa terhina kalau kata anak makan dedak. Dedak itu makanan itik, ayam dan sebagainya. Jadi kita dah samakan anak-anak yang terima duit raya dengan itik, ayam…mestilah kita marah.
“Sedangkan benda ini semua orang buat. Dia (Kor Ming) kata orang cina boleh, sebab bagi angpau. Orang Melayu pun dalam Islam kita waktu hari raya memang kita galak beri sedekah dan sebagainya.
“Kita tak panggil angpau tapi sedekah. Sama sahaja konsep orang Cina, Melayu dan India pun ada beri sumbangan pada anak-anak terutama waktu Deepavali,” katanya dalam sidang media di kementeriannya hari ini.
Semalam, kira-kira 200 penunjuk perasaan berhimpun di luar ibu pejabat DAP di Cheras untuk membantah tindakan Kor Ming yang didakwa biadab dan berunsur provokasi, kerana memuat naik satu karikatur mengaitkan pemberian duit raya kepada kanak-kanak dan tetamu pada hari raya sebagai rasuah menerusi Facebooknya.
Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Kor Ming yang merupakan wakil rakyat perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dibuatnya.
“Saya menasihatkan Kor Ming untuk berhati-hati kerana ini merupakan negara yang berbilang bangsa dan semua perkara sensitif sewajarnya diambil berat atau perkara lain seperti reaksi balas akan berlaku dan ianya tidak ada faedah terhadap kestabilan politik kita,” katanya.
- FMT

No comments: