PETALING JAYA: Semua parti pembangkang perlu kembali ke meja rundingan bagi merangka sekurang-kurangnya satu pakatan kerjasama menjelang pilihan raya umum akan datang untuk menentang Umno-BN.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan, perpecahan di kalangan pembangkang hanya akan menguntungkan Umno-BN sebagaimana yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, baru-baru ini.
“Kita harus insaf bahawa perjuangan kita yang sebenar adalah untuk menyelamatkan Malaysia dan musuh kita yang sebenar adalah Umno-BN.
“Sekiranya kita gagal, kita akan mengkhianati harapan diberikan rakyat Malaysia untuk memperjuangkan kepentingan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk tujuan itu, PKR menawarkan diri bagi menyediakan ruang perbincangan buat semua parti pembangkang, badan bukan kerajaan dan individu yang komited kepada agenda perubahan, termasuk PAS.
Menteri Besar Selangor itu menyambut baik saranan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man supaya semua parti pembangkang menghentikan serangan sesama sendiri dan kembali bersatu menentang musuh pembangkang.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Tuan Ibrahim bahawa kita harus fokus dan menyatukan banyak persamaan di kalangan parti-parti pembangkang berbanding ketaksuban terhadap perbezaan yang muncul,” katanya.
Terdahulu, Tuan Ibrahim yang kesalnya dengan kekeliruan dan tuduh-menuduh di kalangan parti pembangkang, menyeru “gencatan serangan” dilaksanakan untuk menumpukan sasaran ke arah musuh sebenar mereka, Barisan Nasional.
Beliau yakin pembangkang boleh mencari titik pertemuan untuk berkompromi ketika negara sedang menghadapi “kerosakan yang sangat menakutkan”.
- FMT
No comments:
Post a Comment