Friday, 15 July 2016
Kerajaan mungkin mansuh akta kawal harga
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan pemansuhan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 selepas mengambil kira rungutan peniaga, lapor The Star hari ini.
Ia memetik Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebagai berkata kajian sedang dilakukan kementeriannya melibatkan mereka yang berkepentingan.
“Ia bagi memastikan akta itu tidak disalah guna,” kata Hamzah.
Menurutnya, permintaan supaya akta itu dimansuhkan dibuat Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bulan lalu.
“Menurut ACCCIM, akta itu tidak memberikan keyakinan kepada pelabur menjalankan perniagaan mereka di negara ini,” kata Hamzah.
Tambah beliau, mereka juga mengadu peniaga perlu diberi kebebasan menetapkan harga dalam suasana pasaran terbuka.
Akta itu bertujuan memastikan peniaga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga terutama di awal pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa pada April 2015.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment