Friday, 15 July 2016
‘Kita lihat sahaja apa yang parti baharu itu tawarkan’
KUALA LUMPUR: “Kita lihat sahaja apa yang boleh ditawarkan parti baharu dan pakatan baharu bakal dibentuk kepada Malaysia,” kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Dalam catatan terbaharu di blog beliau bertajuk “Mahathir’s last throw of the dice”, Salleh berkata, banyak parti dan pakatan baharu ditubuhkan dalam tempoh 65 tahun lalu sejak 1951.
“Senarai parti dan gabungan yang dibentuk dan kemudian berkubur begitu banyak sekali. Ia bukan setakat menubuhkan parti dan gabungan untuk memenangi pilihan raya.
“Apa yang lebih penting ialah apa yang mereka harap untuk capai dan bagaimana mereka berharap untuk mencapainya.
“Ada sesetengah dapat bertahan sehingga sekarang sementara kebanyakannya telah berkubur. Kadang-kadang pengundi lebih suka kepada parti yang dicuba dan diuji berbanding parti yang tidak diketahui dan belum diterokai,” katanya.
Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.
Pakatan pembangkang baharu itu turut disertai DAP, PKR dan Amanah sebagai parti komponen.
- Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment