Kuala Lumpur – Ada kemungkinan satu parti politik baharu akan ditubuhkan, barangkali diketuai oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bercakap kepada FMT, bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata Dr Mahathir mungkin membuat kemunculan semula dalam usaha menggantikan kerajaan sedia ada diketuai gabungan yang pernah dianggotai negarawan itu.
“Kami akan mengadakan mesyuarat Khamis ini bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.
“Antara perkara yang akan dibincangkan hari itu ialah pembentukan parti baharu untuk bekerjasama dengan PH dalam menentang BN pada pilihan raya umum akan datang.
“Dr Mahathir mungkin mengetuai pasukan baharu ini,” katanya.
Khairuddin berkata pakatan pembangkang diketuai Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri kepada musuh lama Dr Mahathir, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi respons yang positif terhadap rancangan itu.
“Kami akan bekerja dengan PH bagi memastikan keadilan ditegakkan. Kami juga mahu memerangi rasuah dan menggubal institusi baharu,” katanya.
Perkembangan terkini ini hanya selepas beberapa minggu ahli Majlis Tertinggi Umno memutuskan untuk memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga timbalan presiden parti Melayu itu dan anak Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz.
Khairuddin berkata Muhyiddin dan Mukhriz mungkin akan menjadi sebahagian daripada parti baharu itu walaupun mereka tidak akan menghadiri mesyuarat berkenaan berikutan berada di luar negara pada masa ini.
Seorang lagi bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Shafie Apdal pula dijemput menyertai mesyuarat itu.
“Sesiapa pun boleh menyertai parti baharu ini, termasuk ahli Umno yang tidak puas hati dengan pentadbiran semasa,” katanya.
Dr Mahathir pada masa ini bekerjasama dengan pembangkang di bawah sepanduk Selamatkan Malaysia, saling berkongsi pentas mempromosikan gerakan Deklarasi Rakyat untuk mendesak penyingkiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Usaha itu nampaknya tidak membuahkan hasil, dengan pembangkang kalah teruk dalam PRK berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar baru-baru ini, serta dalam PRN di Sarawak pada Mei.
– Mysuara
No comments:
Post a Comment