KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan yang tersebar di laman sosial kononnya sebuah van polis diletupkan, manakala tiga anggotanya cedera dalam kejadian di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah berkata, tindakan mereka yang menyebarkan berita palsu itu hanya menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Van yang terbakar itu (menerusi gambar yang disebarkan) bukan milik polis dan tiada anggota yang cedera seperti didakwa,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Zainol berkata, gambar yang disebarkan itu adalah kejadian semalam (11 Julai).
“Ketika kejadian, pemilik van itu yang baru tiba dari Kedah melalui Jalan TAR, sebelum bahagian enjin vannya tiba-tiba terbakar dan merebak ke keseluruhan kenderaan itu. Tiada unsur kianat,” katanya.
Tegasnya, mereka yang menyebarkan berita palsu itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
- Bernama
No comments:
Post a Comment