Wednesday, 13 July 2016

Mahathir belum belajar daripada kesilapan – Nazri


PETALING JAYA: Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang mengalu-alukan berita Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin menubuhkan parti baharu, menyifatkan ia adalah cara demokratik yang sah untuk menentang kerajaan.
“Saya ucapkan yang terbaik dan semoga berjaya kepada beliau. Berambuslah sampah,” kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu kepada FMT hari ini.
Mengulas lanjut, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berpendapat, selepas berdekad berkecimpung dalam bidang politik, bekas perdana menteri itu masih belum belajar daripada kesilapan dan ia bakal menyaksikan dirinya gagal sekali lagi.
“Langkah terbaru itu akan menjadi satu pengajaran mahal untuknya kerana tidak murah untuk membiayai sebuah parti politik dan apabila tiba pilihan raya nanti, saya pasti beliau akan kalah teruk.
“Lihat sahaja pilihan raya kecil berkembar di Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Semua tempat Mahathir pergi, pembangkang mengalami kekalahan memalukan,” katanya.
Nazri berkata demikian sebagai mengulas pendedahan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan bahawa sebuah parti baru yang diterajui Dr Mahathir mungkin ditubuhkan dengan kerjasama Pakatan Harapan untuk menjatuhkan BN.
Menurut Khairuddin, antara mereka yang bakal menyertai parti itu adalah ahli Umno yang tidak berpuas hati serta bekas pemimpin Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Dr Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Nazri yakin parti baharu itu tidak akan memberi kesan atau ancaman kepada Umno, sebaliknya ia bakal memanfaatkan parti pemerintah.
“Apabila Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie meninggalkan Umno, tidak ada kesan sama sekali. Orang-orang yang tidak berpuas hati dengan parti boleh keluar kerana mereka kini mempunyai rumah baru,” katanya.
Seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Moktar Radin bagaimanapun berpandangan parti pemerintah mungkin terjejas sedikit susulan penubuhan parti baharu itu, memandangkan Dr Mahathir pernah memimpin Umno dan BN selama 22 tahun.
“Tetapi, saya masih percaya ahli Umno akan kekal setia kepada parti dan ia terlalu awal untuk meramalkan bagaimana parti baharu Mahathir mungkin menjejaskan kami.
“Menang atau kalah, hanya rakyat boleh tentukan. Umno dan BN perlu bekerja keras dan memikirkan cara baharu untuk memastikan sokongan rakyat kekal bersama kami,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu.
Beliau menjangkakan Dr Mahathir akan bertindak sedemikian, khasnya selepas usaha beliau bersama parti pembangkang untuk menjatuhkan Umno memakan diri menerusi kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada bulan lalu.
“Saya ucapkan selamat maju jaya dalam pergelutan mereka,” katanya.
- FMT

No comments: