Wednesday, 13 July 2016

Zuraida cabar lapor SPRM bukti terima rasuah beli kereta mewah


PETALING JAYA: Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin mencabar pihak yang mendakwa beliau menerima suapan untuk membeli sembilan kenderaan mewah supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau yang dipetik Nanyang Siang Pau bersedia membuktikan dirinya tidak bersalah melalui saluran sah.
Menurutnya, sebelum menyertai politik, beliau memegang jawatan penting dalam bidang korporat dan ketika itu beliau sudah memiliki kenderaan Toyota serta Honda dan ia bukannya kenderaan mewah.
“Berdasarkan kemampuan kewangan saya sebelum ini dan suami saya yang merupakan seorang peniaga, anak-anak juga sudah bekerja, saya tidak perlu merasuah dan terima suapan untuk membeli barangan mewah,” katanya kepada akhbar berbahasa Cina itu hari ini.
Ahli Parlimen Ampang itu bagaimanapun mengaku mempunyai tujuh kenderaan dan sebuah motosikal yang didaftarkan di bawah namanya, namun hanya sebuah daripada kenderaan itu digunakannya sendiri.
Jelasnya, tiga kenderaan lain digunakan ahli keluarganya dan baki tiga lagi untuk kegunaan parti yang masing-masing dibiayai individu atau pihak yang menggunakannya.
“Kenderaan yang kononnya mewah itu sebahagian besarnya adalah kereta jenama Jepun, termasuk sebuah van dan trak pikap,” katanya.
Tambahnya, setiap ahli Parlimen juga mempunyai permit import kereta (AP) dan pinjaman kenderaan sebanyak RM100,000 yang dimanfaatkan untuk membeli kereta bagi kegunaan ahli keluarganya.
Bekas pemimpin PKR, Badrul Hisham Shahrin yang lebih dikenali sebagai Chegubard sebelum ini menyifatkan jumlah kenderaan yang dimiliki Zuraida itu agak luar biasa dan mendesaknya memberi penjelasan.
Bagaimanapun, Zuraida sekadar mendiamkan diri beberapa hari selepas pendedahan itu dibuat.
- FMT

No comments: