Friday, 22 July 2016

Polis bantu permudah protes tolak Najib, jika patuhi peraturan


KUALA LUMPUR: Polis akan membantu mempermudahkan perhimpunan bantahan terhadap Perdana Menteri oleh pembangkang yang dijadual berlangsung pada 30 Julai ini, jika ia tidak melanggar undang-undang.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, undang-undang negara ini membenarkan rakyat berhimpun secara aman tetapi ia perlu mematuhi peraturan.

“Negara kita ada undang-undang, PDRM melaksanakan undang-undang, kalau undang-undang memberi hak untuk berkumpul secara aman dengan memenuhi syarat-syarat ditetapkan, kita PDRM tiada masalah.

“Kalau ikut peraturan, kita akan bantu (memudahkan perhimpunan), tetapi jangan pula dia (pembangkang) kata tidak mahu ikut peraturan.

“Ini peraturan diluluskan wakil rakyat di Parlimen, jadi PDRM komited segala peraturan dan perundangan ini dipatuhi,” katanya pada sidang media di Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS), hari ini.

Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas rancangan Pakatan Harapan mengadakan protes pada akhir bulan ini jika Najib gagal memenuhi tiga tuntutan mereka, susulan saman sivil
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk menyita aset-aset 1MDB.

Tuntutan pertama ialah Najib perlu mengambil cuti sebagai perdana menteri dengan segera kerana wujud persepsi beliau mempunyai kuasa dan pengaruh ke atas agensi utama kerajaan, termasuk
Pejabat Peguam Negara, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tuntutan kedua ialah Kabinet perlu menasihatkan Yang di-Pertuan Agong menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja terdiri daripada individu tiada kaitan dengan mereka yang didakwa terbabit dalam isu itu.

Tuntutan terakhir ialah sidang tergempar Parlimen perlu diadakan segera supaya Najib boleh memberi penjelasan terperinci mengenai isu itu kepada wakil rakyat.

- FMT

No comments: