KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang menyekat akses semua laman web dan media sosial berkaitan surat berita berbahasa Indonesia terbitan pengganas IS, Al-Fatihin.
Menterinya, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tindakan itu diambil selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima permohonan Kementerian Dalam Negeri.
“Twitter berkaitan Al-Fatihin telah pun disekat. SKMM juga sedang menunggu maklum balas daripada Facebook selepas membuat permohonan agar akaun (Al-Fatihin) ditahan.
“Manakala proses untuk sekat laman web Al-Fatihin sedang dilaksanakan SKMM waktu ini,” katanya kepada FMT hari ini.
Semalam, media melaporkan IS menerbitkan edisi pertama Al-Fatihin yang sarat dengan propaganda kumpulan pengganas itu dan boleh dimuat turun dalam format PDF.
Ia boleh dimuat turun melalui laman web perkongsian fail serta dihebahkan melalui Facebook ‘Al-Fatihin Media’.
Laman web alfatihin.com juga memuatkan berita kumpulan pengganas itu, termasuk rakaman audio dan video.
Semalam, Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis mengesyaki ia dikendalikan warga Indonesia dan Malaysia.
“Polis tidak akan berkompromi. Kita akan periksa sehingga ke akar umbi sesiapa pun yang terlibat (dengan IS),” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ‘Al-Fatihin’, IS menyebarkan propaganda melalui video di Youtube dalam usaha untuk mendapatkan sokongan rakyat Malaysia.
- FMT
No comments:
Post a Comment