Tuesday, 9 August 2016

Apa yang wanita mahu TMJ beritahu Najib nanti?

Tunku-Ismail-Sultan-Ibrahim_hidup
PETALING JAYA: Menjelang pertemuan Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan perdana menteri Jumaat ini, pelbagai pihak menyahut seruan Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu untuk menyampaikan aduan mereka.

TMJ, ditemubual dalam rancangan “Obviously Harith Iskander” di Astro Awani baru-baru ini, menyatakan kesediaannya menyampaikan sebarang aduan daripada orang ramai terus kepada Datuk Seri Najib Razak.

Bersambung daripada minggu lalu di mana kos sara hidup dan barangan harian menjadi aduan utama yang ingin disampaikan rakyat kepada Najib, kali ini FMT bertanyakan golongan wanita daripada semua peringkat umur.

Dan rata-rata, harga barang masih menjadi keluhan utama mereka, di samping kesukaran mendapatkan kemudahan kewangan.

Peniaga, Farida Bee Gor Rahman, 61, berkata beliau amat tertekan ekoran barangan keperluan harian seperti telur dan cili semakin hari meningkat harganya.

“Kita ni orang bawah-bawah rasa tergugat lebih-lebih lagi bagi makcik ni berniaga. Telur, cili sampai RM20 sekilogram. Itu baru cili kampung bukannya cili import. Rasa tertekan jugalah. Tambah-tambah lagi bagi saya warga emas, tidak ada duit pencen,” ujarnya ketika ditemui FMT di Kuala Lumpur.

Katanya, sebagai peniaga beliau sendiri serba salah menaikkan harga jualannya kerana sering mendapat rungutan pelanggan.

“Bukan semua orang senang. Kita cuba nak naikkan harga 50 sen, tetapi orang bising. Dalam hal ini apa saya hendak jawab, sedangkan harga barangan sendiri pun mahal,” keluhnya.


Nurhazlinda A. Thafar, peniaga barangan kosmetik yang baru membuka kiosk di Menara Mara di Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu, turut mendapati amat sukar menawarkan harga barangan murah untuk pelanggannya disebabkan kos meningkat.

Wanita berumur 30 tahun itu berkata harga barangan subsidi seharusnya diturunkan atau dikekalkan kerana barangan terkawal turut dinaikkan harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Harga barang memang tinggi, kadang-kadang tidak semua orang senang. Kena bayar sewa rumah, duit kereta, duit minyak dan duit makan.

“Duit makan sekali makan untuk sarapan bernilai RM10, pagi, tengah hari, malam lagi. Malah harga ayam ketika ini juga naik,” katanya.


Suri rumah, Fauziah Awang, 43 berharap diberikan kelonggaran supaya dapat melakukan pinjaman untuk perniagaan agar dapat mengubah nasib diri dan keluarga.

“Kita berharap supaya diberikan kelonggaran untuk suri rumah nak berniaga tetapi hendak memulakan perniagaan itu susah. Lagipun, ketika ini kos sara hidup juga tinggi,” jelasnya.

Pelajar Nuryasminwafia, 23 berharap dipermudahkan urusan pinjaman pelajaran.

Katanya, dia terpaksa menangguhkan pengajian kerana masalah kewangan.


“Saya terpaksa ambil rehat selama satu atau dua semester untuk dapatkan duit Mara dahulu dan barulah boleh sambung semula pelajaran,” katanya.

Ujarnya, kehidupannya turut tertekan apabila terpaksa membayar hutang wang pinjaman pengajian diploma berjumlah RM50,000.

“Saya tidak dibenarkan minta penangguhan bayaran diploma sebaliknya harus bayar dan kalau lebih enam bulan tidak bayar, nama akan disenarai hitam,” jelasnya.

Keluhan Anusia Rajasegaran, 18 seorang jurujual, pula ialah pendapatannya tidak setimpal dengan pekerjaannya.


“Saya tidak cukup gaji kerana bekerja sepenuh masa. Hanya RM5 sejam dan gaji sebulan hanya RM1,000.

“Sehari kerja bermula jam 9.30 pagi hingga 10.00 malam tetapi gaji tetap RM5 (sejam). Bahkan pada waktu perayaan juga tidak ada gaji ‘double’ atau ‘triple’,” katanya.

Li Yen turut merungut mengenai harga barang dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Dia berharap TMJ dapat sampaikan kepada Najib keperluan memantau harga rumah yang semakin naik dan di luar kemampuan orang biasa.

Guru tuisyen berusia 25 tahun itu turut menasihati kerajaan supaya jangan terlibat dengan rasuah dan sentiasa patuh kepada perintah Tuhan.

Lain pula bagi Tang Wy, 38, seorang pengurus unit saham, yang hanya ada satu permintaan kepada TMJ. “Suruh Najib letak jawatan, itu saja,” katanya

- FMT

No comments: