Monday, 8 August 2016

Saya tidak akan menyertai jika Dr M bukan presiden parti: Khairuddin

Bekas timbalan ketua bahagian Umno Batu Kawan, Khairuddin Abu Hassan berkata beliau hanya akan menjadi ahli parti baru sekiranya Dr Mahathir Mohamad menjadi presiden parti.
Mengulas lanjut kenyataan medianya awal pagi tadi, Khairuddin berkata beliau tidak berminat untuk menyertai parti baru untuk dijadikan platform menentang rasuah selagi tidak diketuai bekas perdana menteri itu.
‎”Saya akui kalau parti baru ini ditubuhkan dan ditadbir oleh Dr Mahathir sebagai presiden, saya akan jadi orang yang pertama memohon untuk menjadi ahli baru.
“Kalau selain daripada Dr Mahathir saya tidak minat, saya tidak perlu parti politik untuk jadikan platform‎,” katanya.
Terdahulu beliau ‎menerusi kenyataan media menegaskan peranannya akan tamat apabila parti baru yang bakal diketuai oleh Muhyiddin Yassin didaftarkan secara rasmi.
Beliau menegaskan lebih selesa bergerak solo dalam menentang penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam pada itu Khairuddin menambah, jawatan bukan faktor beliau tidak mahu bersama-sama dengan parti pembangkang dan bekas pemimpin Umno itu dalam sebuah gabungan pakatan yang baru.
“Kalau saya mahukan jawatan, saya akan duduk dalam parti itu sebagai ahli dan saya akan meminta jawatan, tetapi saya tidak mahu‎.
‎”Saya tidak minat pegang jawatan dalam parti-parti ini, matlamat saya nak lawan rasuah sahaja khususnya, 1MDB. Selama ini pun saya tidak berada di bawah parti politik.”

No comments: