Saturday 5 November 2016

Ahli seumur hidup PPBM kesal salah kritik parti

PPBM
PETALING JAYA: Datuk Seri Zaeinal Abidin Omar merasa kesal setelah dijelaskan pelantikan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya sebagai naib presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibuat kerana sukar mencari pemimpin berintegriti.
Ahli seumur hidup PPBM itu berkata seorang wakil parti menjelaskan perkara itu kepadanya susulan kritikan keras beliau terhadap pelantikan Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
“Saya minta maaf dan ingin menarik balik kenyataan yang menegur PPBM tentang pemilihan barisan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT). Saya difahamkan oleh satu sumber bahawa sukar untuk mencari pemimpin yang berintegriti dan tidak mempunyai agenda politik.
“Sumber parti memberitahu kalau kita lantik pemimpin yang mempunyai agenda politik tersendiri mungkin membawa keburukan kepada parti,” katanya.
Zaeinal pada Rabu membidas pelantikan Abdul Rashid dan “muka-muka baharu” yang disifatkannya membisu ketika ahli parti lain berjuang “bermati-matian” menentang pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Zaeinal menyifatkan orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan sebagai lebih layak menjawat jawatan Naib Presiden.
Khairuddin meninggalkan PPBM minggu lepas.
Zaeinal, yang dilihat sebagai orang kuat Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, menjelaskan kritikannya bukan ingin menidakkan kebolehan Rashid, cuma ingin melihat pembentukan barisan kepimpinan parti yang kuat pada pandangannya.
“Saya sedar terdapat reaksi berbeza dalam kalangan pengikut saya dan penyokong PPBM tentang teguran drastik saya itu. Bukan niat saya untuk menentang PPBM yang telah sama-sama saya perjuangkan.”
Selain Rashid, 2 lagi naib presiden ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng yang dipecat, Datuk Hamidah Osman serta peguam, Datuk Abdul Rashid Asari.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times, Datuk Kadir Jasin; abang Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin; Tariq Ismail yang merupakan cucu bekas Timbalan Perdana Menteri, Dr Ismail Abdul Rahman serta bekas Exco Pemuda Umno, Mohd Rafiq Naizamohideen pula dilantik sebagai ahli MPT PPBM.
- FMT

No comments: