Thursday 10 November 2016

Trump Menang, Minyak Turun

SINGAPURA: Harga minyak di Asia jatuh pada Rabu selepas calon Republikan, Donald Trump mengalahkan pencabarnya, Hillary Clinton dari Parti Demokrat.

Pasaran kewangan global dan harga minyak mengalami putaran balik berikutan kemenangan jutawan populis itu dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS).

Pada sekitar 8.30 pagi waktu AS, kontrak Disember untuk penanda aras AS - West Texas Intermediate susut 53 sen pada $44.45 setong dan minyak mentah Brent untuk penghantaran Januari adalah 51 sen lebih rendah pada paras $45.53.

Kedua-dua kontrak jatuh lebih daripada satu dolar pada peringkat awal selepas Trump merapatkan jurang untuk mendahului Clinton.

"Ucapan kemenangan Trump adalah kata-kata yang menenteramkan, kata Jeffrey Halley, seorang penganalisis kanan pasaran di Oanda, kepada AFP.

"Pasaran suka apa yang beliau katakan tentang perbelanjaan fiskal untuk membina semula infrastruktur Amerika."

Bagaimanapun Halley menyatakan bahawa "dunia masih dalam keadaan terkejut" atas kemenangan Trump dan memerlukan lebih banyak masa untuk mencerna implikasi yang berpotensi.

"Tekanan menurun kepada minyak boleh berlaku secara semula jadi, masih terlalu awal untuk mengukur apa-apa pandangan dengan muktamad," katanya.

Capital Economics berkata, jawatan presiden Trump "lebih kepada langkah yang tidak diketahui".

- AFP

No comments: