Thursday 10 November 2016

Trump mungkin beretorik bantah TPPA dalam kempen, kata Mustapa

Mustapa Mohamed
KUALA LUMPUR: Masih terlalu awal untuk memperkatakan tentang kegagalan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) diteruskan berikutan pemilihan Donald Trump sebagai presiden Amerika Syarikat (AS), kata Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu berkata, memandangkan Trump baharu sahaja memenangi pilihan raya presiden, kita tidak sepatutnya terburu-buru membuat perkiraan walaupun pemimpin Republikan itu dalam kempennya menolak TPPA.

“Bagi saya terlalu awal membuat analisis kerana perkara ini baru berlaku beberapa jam dan kalau kita buat apa-apa andaian terburu-buru mungkin kurang tepat.

“Tapi realitinya AS negara terbuka dari dulu sampai sekarang terutamanya dalam hal ekonomi,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengulas kenyataan kontroversi Trump sebelum ini yang dilaporkan tidak menyokong TPPA.

Katanya, menerusi proses kempen pilihan raya, pelbagai kenyataan timbul termasuklah ada pihak yang mengatakan Trump tidak mahu melaksanakan TPPA hanyalah sekadar retorik politik bagi mendapatkan undi.

“Jadi kalau kita lihat kempen memang bermacam kenyataan dibuat. Ada berpendapat itu kempen retorik untuk dapat undi dan pancing undi. Ada juga berpandangan setelah menjalankan kerja sebagai presiden akan ada pengubahsuaian tapi sudah pasti ada perubahan kerana Donald Trump berkempen untuk ubah dasar AS.

Bagaimanapun Mustapa berkata, Malaysia akan membuat perbincangan dengan beberapa negara lain yang turut menyertai TPPA sebagai langkah seterusnya.

“Masih awal tapi kita akan bincang berkenaan TPPA dengan 12 buah negara. Saya rasa TPPA akan berbincang dengan mereka untuk melihat perkara ini,” katanya.

Trump memenangi pilihan raya presiden AS sebentar tadi dengan memperolehi 276 undi menewaskan pencabarnya, Hilary Clinton daripada parti Demokrat yang meraih 218 undi.

Kemenangan Trump mencetuskan rasa tidak gembira wakil rakyat Malaysia, terutamanya dalam hal melibatkan nasib TPPA.

- FMT

No comments: