Tuesday 1 November 2016

Bersih tempatkan 1,000 petugas pada 19 November

 bersih-security
KUALA LUMPUR: Bersih 2.0 menyediakan 1,000 anggota keselamatan dan 80 pegawai perubatan termasuk doktor, jururawat dan paramedik yang akan bersiap sedia untuk perhimpunan Bersih 5 pada 19 November depan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini notis 10 hari sudah diserahkan kepada PDRM seperti termaktub di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk perhimpunan pada dijadualkan bermula 10 pagi hingga 6 petang.

Notis dihantar ke balai polis di Brickfields, Dang Wangi, Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dengan tindakan susulan akan dibuat pada minggu depan.

“Kami berharap polis akan bekerjasama dengan kami dan menyediakan anggota dan keselamatan pada 19 November nanti,” katanya dalam kenyataan itu.

Kenyataan itu turut mengumumkan 2 tempat berkumpul bagi peserta iaitu di Dataran Maybank di Jalan Bangsar dan Masjid Negara, sebelum berarak untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

Bersih 5 diadakan sebagai respons kepada krisis politik akibat skandal 1MDB dan mencadangkan 5 tuntutan untuk pembaharuan dalam institusi negara iaitu pilihan raya bersih, kerajaan bersih, kukuhkan demokrasi berparlimen, hak membantah dan memperkasa Sabah dan Sarawak.

“Kami juga mengulang desakan perdana menteri meletakkan jawatan dan memberikan laluan penyiasatan bebas dapat dilakukan terhadap dana penipuan yang digunakan untuk memenangi PRU13 pada 2013,” katanya.

Bersih sebelum ini melancarkan konvoi ke seluruh negara untuk mempromosikan rancangan mengadakan himpunan jalanan pada 19 November itu.

Beberapa insiden pergaduhan berlaku apabila peserta konvoi Bersih 5 diganggu penyokong gerakan Baju Merah termasuk di Teluk Intan dan Selangor.

Malah, gerakan Baju Merah berkata akan membuat himpunan balas sekiranya Bersih 5 diadakan pada tarikh yang dijadualkan.

- FMT

No comments: