Thursday 1 September 2016

9 dipanggil polis, penganjur #TangkapMO1 berdepan 3 dakwaan - Video

nazmi-anis
KUALA LUMPUR: Sembilan individu dipanggil polis, susulan tiga dakwaan yang dikenakan terhadap penganjur himpunan Tangkap Malaysian Official 1 di Dataran Merdeka, minggu lalu.

Antara mereka yang dipanggil polis adalah Ahli Parlimen DAP Rasah, Teo Kok Seong dan Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama jurucakap penganjur himpunan #TangkapMO1, Anis Syafiqah Md Yusof dan enam yang lain.

“Kami dimaklumkan (penganjur itu disiasat di bawah) tiga dakwaan, iaitu mengancam demokrasi berparlimen, Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Hasutan 1948.
“Pelajar terbabit menunjukkan keberanian dalam menganjurkan protes untuk mendapat keadilan susulan rasa tidak puas hati mereka dengan skandal yang membelenggu negara. Kami kecewa mereka dipanggil polis,” kata Nik Nazmi di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Sementara itu, Teo berkata, beliau dipanggil kerana berucap pada perhimpunan di Masjid Negara di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah.

Ketua Pemuda DAP itu berkata, beliau sebenarnya tidak kenal penganjur perhimpunan berkenaan secara peribadi ketika itu.

“Saya dipanggil hari ini dan berpeluang mengenali orang muda yang mahu menyuarakan harapan kami dan wawasan negara.

“Saya harap polis tidak akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang menganjurkan acara itu yang diadakan secara aman,” katanya.

Perhimpunan itu diadakan untuk menekan pihak berkuasa menangkap individu dinamakan “Malaysian Official 1” dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi menyita aset yang didakwa dibeli dengan wang diseleweng daripada dana 1MDB.

Ahad lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata, polis menolak permohonan penganjur kerana tidak memenuhi syarat, termasuk gagal mengemukakan surat kebenaran daripada pemilik Dataran Merdeka, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Perhimpunan pada petang Sabtu lalu itu hambar dan tidak mendapat sambutan kerana hanya disertai kira-kira 1,500 orang.

No comments: