Wednesday 21 September 2016

Agong perkenan sambung khidmat 3 hakim kanan

Jeffrey Tan Kok Hwa
KUALA LUMPUR: Tiga hakim negara yang sepatutnya bersara kerana mencecah umur bersara wajib disambung khidmat untuk 6 bulan lagi, kata Ketua Hakim Negara Tan Sri Arifin Zakaria.

Yang di-Pertuan Agong memperkenan penyambungan khidmat itu selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ariffin akan terus berkhidmat selepas umurnya mencecah 66 pada 1 Oktober. Dua lagi hakim yang terbabit ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Raus Sharif dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin. Raus sepatutnya bersara pada Februari manakala Zulkefli pada Mac.

Ariffin berkata tempoh itu antara lain akan untuk merancang penggantiannya.

“Tentu sekali ia akan melalui Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) dan saya tak boleh beritahu kamu siapa yang akan menggantikan saya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan undang-undang hari ini.

Dalam perkara berkaitan, Arifin berkata Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Kok Hwa yang sudah bersara dilantik hakim tambahan lantaran pengalamannya.

“Pelantikan beliau tidak akan menghalang seorang hakim Mahkamah Rayuan diangkat ke Mahkamah Persekutuan,” kata Arifin, yang menambah hakim tambahan akan dilantik jika ada keperluan.

Hanya 15 Mahkamah Persekutuan boleh dilantik tetapi tiada had ditetapkan untuk hakim tambahan.

Katanya mahkamah apeks itu memerlukan lebih ramai hakim kerana makin banyak sidang melibatkan 5 atau 7 hakim.

Tambahan pula, Mahkamah Rayuan sibuk dengan jumlah kes yang banyak sementara hakim terbabit perlu menyediakan alasan penghakiman.

FMT minggu lalu melaporkan Kok Hwa dilantik hakim tambahan berkuat kuasa 1 Julai untuk 2 tahun tetapi badan kehakiman tidak menyatakan sebab pelantikan beliau.

Kok Hwa hakim bersara kedua yang dilantik ke kedudukan itu, yang pertama Hakim Mahkamah Persekutuan S Chelvasingan MacIntyre pada penghujung 1960-an.

Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan membenarkan perlantikan itu.

Ia menyatakan Agong, atas nasihat Ketua Hakim Negara, boleh melantik mana-mana orang yang pernah memegang jawatan kehakiman yang tinggi untuk menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi apa-apa maksud atau bagi apa-apa tempoh masa yang ditentukan olehnya.

- FMT

No comments: