Wednesday 21 September 2016

'Ratu Naga' dibawa ke balai tengah malam untuk soal siasat

'Ratu Naga' sekali lagi dikunjungi anggota polis pada tengah malam semalam, kira-kira sebulan selepas melahirkan seorang bayi perempuan.

Dia yang nama sebenar Syarul Ema Rena Abu Samah memberitahu Malaysiakini, mereka datang kira-kira jam 12.30 tengah malam semalam (Selasa).

"Mereka berpakaian biasa tetapi memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Saya katakan kepada anggota polis terbabit saya masih dalam pantang namun mereka bertegas mahu bawa saya ke balai polis Klang Selatan. Saya pun bagi kerjasama (dengan mengikut mereka)," katanya.

Syarul Ema menambah dia tidak dimaklumkan tujuan untuk dibawa ke balai.

Dia juga memaklumkan anggota polis berkenaan masuk ke rumahnya di Jalan Kelang Lama untuk melihat sendiri bayinya sedang tidur dalam bilik.

Ketika itu selain Syarul Ema ada dua abangnya di rumah berkenaan, manakala suaminya berada di negeri lain kerana bertugas.

Tidak mahu memanjangkan perkara, Syarul Ema kemudian mengikut lima anggota polis berkenaan ke balai, dengan ditemani abangnya.

"Saya terpaksa tinggalkan anak saya yang baru sebulan dengan seorang lagi abang sulung," katanya.

Di balai, katanya, dia sekali ditanya berhubung posting berkaitan Sultan Pahang dan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor semasa majlis rumah terbuka Datuk Seri Najib Razak di Pekan sempena Aidilfitri lalu.

Polis juga, kata Syarul Ema, mahu merampas telefon bimbitnya namun dia membantah kerana jika diambil juga ia adalah untuk kali ketiga.

"Saya meninggalkan balai polis itu kira-kira jam 3 pagi," katanya.

Sementara itu Syarul Ema berkata dia dimaklumkan polis akan menyiapkan laporan dan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Pada 2 Ogos lalu seramai 14 anggota polis dari Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyerbu rumah Syarul Ema ekoran laporan polis terhadap posting di Facebooknya serta tiga akaun lain.

- MK

No comments: