Tuesday 20 September 2016

MB Pahang dibenar rayu keputusan kes saman Utusan

adnan-yaakob-utusan
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan 5 persoalan undang-undang mengenai sama ada pegawai awam boleh menyaman media kerana fitnah atas kapasiti rasmi.
Ini berikutan keputusan panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Hakim Tan Sri Hasan Lah memberi kebenaran kepada Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Pada 1 Mac, tahun ini, Mahkamah Rayuan membatalkan saman yang difailkan Adnan terhadap penerbit akhbar berbahasa Melayu, Utusan Melayu (M) Bhd selepas memutuskan pegawai awam tidak boleh menyaman media kerana fitnah atas kapasiti rasmi.
Pada prosiding hari ini, peguam Americk Sidhu yang mewakili Adnan memohon kebenaran untuk merayu, dan meminta Mahkamah Persekutuan memutuskan 5 persoalan perundangan.
Peguam Datuk M. Reza Hassan yang mewakili Utusan Melayu tidak membantah permohonan tersebut.
Antara persoalan undang-undang itu sama ada prinsip yang diputuskan dalam kes perundangan, Derbysire County Council lwn The Times Newspaper Ltd & Others (1993) patut diterima sebagai sebahagian daripada common law di Malaysia.
Kes itu menyatakan berkuasa tempatan tidak boleh memulakan tindakan undang-undang berkaitan fitnah atas kapasiti memegang jawatan rasmi.
Satu lagi persoalan ialah sama ada keputusan dalam kes perundangan itu secara efektif melarang pegawai awam atas kapasiti rasmi memulakan tindakan saman fitnah atas kapasiti rasmi.
Seorang lagi peguam mewakili Adnan, Datuk Dr Abd Shukor Ahmad memberitahu pemberita berikutan keputusan hari ini, anak guamnya akan meneruskan tindakan untuk memfailkan notis rayuan dalam tempoh 30 hari.
Adnan menyaman Utusan Melayu berhubung penerbitan artikel dalam Mingguan Malaysia bertajuk “Hebat Sangatkah Adnan” pada 9 November tahun lepas.
Beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta menyiarkan permohonan maaf tidak mengulangi menyiarkan apa-apa artikel berbaur fitnah terhadapnya.
Pada 23 Julai tahun lepas, Utusan Melayu gagal dalam permohonan untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan Adnan apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu.
Utusan Melayu selepas itu memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut kepada Mahkamah Rayuan yang kemudian membuat keputusan memihak kepada syarikat itu.
Mahkamah Rayuan memutuskan Adnan, sebagai menteri besar dan wakil rakyat tidak mempunyai “locus standi” (kelayakan undang-undang) untuk menyaman Utusan Melayu kerana fitnah atas kapasiti rasmi berhubung artikel yang disiarkan syarikat itu.
- Bernama

No comments: