Friday 23 September 2016

Zahid yakin BN Sabah tidak terkesan parti Shafie

zahid-hamidi-shafie
NEW YORK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman akan tetap mantap dan mampu menangkis sebarang serangan di sebalik usaha menggerakkan satu parti pembangkang di negeri itu.

Bekas naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berhasrat mengambil alih sebuah parti politik di Sabah untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Zahid, naib presiden yang menjalankan tugas timbalan presiden parti, menyifatkan tindakan itu satu kejanggalan sebagaimana yang berlaku apabila seorang bekas presiden Umno dan pengerusi BN bersama bekas timbalan presiden Umno dan timbalan pengerusi BN mewujudkan parti baharu baru-baru ini.

“Tetapi saya harus nyatakan bahawa atas rasa hormat dan sikap profesional, kita tidak menidakkan hak rakyat Malaysia untuk berpolitik demi menterjemahkan semangat demokrasi yang diamalkan kerajaan,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Shafie, bekas menteri kemajuan luar bandar dan wilayah, mengunjungi pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di Putrajaya pada Khamis untuk memohon proses pertukaran nama parti berkenaan dan logonya.

“Kita akan berlaku adil dan ROS akan melakukan tindakan secara profesional sebagaimana kita mendaftarkan PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” kata Zahid yang juga menteri dalam negeri.

Beliau berada di New York untuk mengetuai delegasi Malaysia pada Sesi ke-71 Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Zahid menegaskan apa yang penting ialah jentera Umno dan BN keseluruhannya diperkasakan bagi menentukan kemenangan pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Shafie bertindak keluar Umno pada 4 Julai lepas setelah digantung keahliannya pada 24 Jun 2016.

- Bernama

No comments: