Wednesday 21 September 2016

Noh Omar tuduh Selangor gagalkan projek PR1MA

noh-omar_pr1ma_600
KUALA LUMPUR: Tan Sri Noh Omar semalam menuduh kerajaan Selangor menimbulkan pelbagai masalah berhubung pembinaan rumah mampu milik untuk rakyat yang dirancang kerajaan persekutuan di negeri itu.

Menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) merancang membina 27 projek perumahan mampu milik untuk rakyat Selangor tetapi gagal dilaksanakan kerana mendapat pelbagai kekangan.

“Kami mahu membantu rakyat untuk memiliki rumah dengan projek yang sudah diluluskan, tapi kerajaan negeri pula menimbulkan pelbagai masalah, hari ini satu pun belum dapat dilaksanakan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2016 serta di Cheras, malam tadi.

Beliau berkata jumlah itu meliputi pembinaan 51,000 unit rumah PR1MA yang sehingga kini belum dapat dilaksanakan.

Bagaimanapun Noh tidak menjelaskan terperinci berhubung kekangan berkenaan.

Noh yang juga pengerusi Umno Selangor turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang tidak membantu rakyat khususnya mereka yang berpendapatan rendah membeli rumah dengan pemberian subsidi sebagaimana dilakukan kerajaan pusat melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

“Kalau rumah harga RM100,000, paling tidak mereka boleh bagi subsidi RM10,000. Seperti kerajaan persekutan, kalau ikut kos sebenar sebuah rumah PPRT bernilai RM165,000 tetapi kami jual RM35,000 sahaja,” katanya.

- Bernama

No comments: