Wednesday 28 September 2016

Mana boleh beri air kotor kepada pengguna, kata Exco jawab Noh Omar

PETALING JAYA: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar diingatkan supaya tidak mempolitikkan masalah bekalan air negeri itu kerana tindakan beliau melibatkan kesihatan pengguna.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani Zaidy Abdul Talib berkata kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan isu bekalan air di empat daerah Selangor yang terjejas.
“Noh Omar sebenarnya jahil apa yang berlaku. Kita terpaksa tutup loji (Rawatan Air Sungai Semenyih) disebabkan berlakunya pencemaran,” kata Zaidy.
“Takkan kita nak beri air kotor kepada pengguna. Dia (Noh) daripada dulu lagi cuba memanipulasi satu isu yang dia tidak jelas,” katanya 
Exco berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan Noh yang mendakwa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali “sibuk berpolitik hingga lupa masalah rakyat”.
Menurut Noh, Kerajaan Selangor gagal menjaga kebersihan Sungai Semenyih yang menjadi sumber bekalan air yang penting sehingga berlakunya pencemaran.
Semalam Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili berkata pihak berkuasa masih menyiasat sumber pencemaran itu, disyaki berpunca daripada sektor perindustrian berhampiran.
“Perlu faham kawasan loji itu amat luas dan proses pemulihan juga sedang dijalankan,” kata Zaidy.
“Kita juga sudah meminta orang ramai untuk laporkan segera jika mendapati ada unsur curiga yang menyebabkan pencemaran itu berlaku,” tambahnya.
Pencemaran di Loji Rawatan Air Semenyih menyebabkan penduduk di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air sejak Jumaat. Mulai semalam bekalan air dilaporkan 96.7% pulih berdasarkan status syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).
Menurut Syabas, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya lewat tengah hari esok.
- FMT

No comments: