Friday 26 August 2016

Selepas tarik balik saman, Anina suruh Ku Nan jadi tukang sapu

PETALING JAYA: Bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin membidas Setiausaha Agung parti itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai seorang pengecut kerana enggan mengisytiharkan harta.

Ia selepas Tengku Adnan, atau Ku Nan, berkata tindakan Anina menarik balik saman terhadap Umno adalah kerana sedar akan kalah.

Anina pada Rabu mengumumkan pembatalan saman terhadap presiden Umno Datuk Seri Najib Razak menuntut wang derma RM2.6 bilion yang disalurkan ke akaun bank peribadi beliau dipulangkan kepada parti, di samping saman terhadap Tengku Adnan berkenaan pemecatan keahliannya.

“Nasihat saya kepada Ku Nan, daripada cuba nak ulas tentang fikiran saya, lebih baik dia isytihar dulu hartanya. Buat apa yang perlu dia buat. Banyak sangat kah hartanya sehingga takut nak diisytihar?” kata Anina kepada FMT.

Tengku Adnan, yang juga menteri wilayah persekutuan, sebelum ini mengumumkan tidak akan mengisytiharkan harta selepas gesaan berbuat demikian ekoran penangkapan seorang pegawai tinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana rasuah.

Tengku Adnan mengarahkan pegawai jabatan di bawah kementeriannya berbuat demikian, tetapi berkata beliau sendiri tidak perlu kerana bimbang dirompak.

“Saya tidak akan isytihar apa yang saya ada, kerana jika saya berbuat demikian, saya bimbang anak-anak atau isteri saya mungkin diculik. Semua benda boleh berlaku. Perompak boleh sasarkan kami,” katanya.

Anina berkata sekiranya takut, Tengku Adnan perlu meletak jawatan.

“Kalau takut, jangan jadi menteri lah. Baik jadi tukang sapu sampah DBKL sahaja, kerana pekerjaan itu lebih mulia di sisi Allah.”

Anina berkata keputusan menarik balik tindakan undang-undang terhadap Umno ialah kerana beliau kini bersama parti politik baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Saya buat saman itu ketika saya bersama Umno, tetapi tak lagi relevan kerana saya sekarang ini menganggotai jawatankuasa penaja Bersatu. Mengapa saya mahu Najib pulangkan baki RM2.6 bilion kepada Umno sedangkan saya bersama Bersatu?

“Biar ahli Umno yang perjuangkan hak mereka ke atas wang yang dicuri presiden mereka. Jika saya tak yakin menang, mengapa pula saya bawa kes ke Mahkamah Persekutuan? Bukankah lebih baik saya berhenti setakat Mahkamah Tinggi jika saya rasa saya akan kalah?” katanya.

Najib sebelum ini mengakui menerima RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya. Bagaimanapun, beliau mendakwa ia merupakan derma untuk Umno daripada Arab Saudi, dan bukan dana yang disalurkan daripada entiti 1MDB seperti didedahkan akhbar The Wall Street Journal yang memetik sumber siasatan di Malaysia.

- FMT

No comments: