Friday 26 August 2016

Tuduhan sabotaj kewangan: Rayuan Khairuddin ditolak

khairuddin-court-gavel
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan bekas timbalan ketua Umno bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk membatalkan pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan kewangan negara yang dihadapinya.

Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, yang mengetuai panel 3 hakim, menolak rayuan Khairuddin tanpa pendengaran penuh rayuan dan bantahan awal pendakwaan terhadap rayuan itu.

Raus mempersoalkan sama ada wajar bagi Khairuddin untuk memfailkan permohonan itu sedangkan Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah untuk menangguhkan sementara perbicaraan kes yang dihadapinya sementara menunggu penyelesaian rayuan pendakwaan di Mahkamah Rayuan.

Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang pertuduhan dihadapi Khairuddin dan peguam Matthias Chang Wen Chieh bukanlah kesalahan keselamatan dan ia tidak tertakluk di bawah kesalahan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Kes itu ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Rayuan pada 14 November.

Raus berkata Khairuddin tidak sepatutnya memfailkan permohonannya seperti mana suatu permohonan jenayah dan bertanya sama ada ia adalah venue perundangan yang betul untuk mencabar kesahihan pertuduhan itu.

Dalam permohonannya, Khairuddin mendakwa Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak mempunyai bidang kuasa yang sah sebagai peguam negara apabila beliau memulakan tindakan undang-undang terhadapnya.

Raus berkata isu yang dibangkitkan Khairuddin dalam permohonannya berhubung pelantikan Apandi sebagai peguam negara adalah isu perlembagaan yang sepatutnya ditentukan Mahkamah Persekutuan.

Katanya, permohonan Khairuddin adalah penyalahgunaan proses mahkamah.

Dua lagi hakim yang bersidang bersama Raus ialah Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zamani A. Rahim.

Khairuddin, 54, dan Matthias, 66, berdepan pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan kewangan dan perbankan negara di 5 lokasi antara 28 Jun dan 26 Ogos tahun lepas.

Kedua-duanya berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun jika didapati bersalah mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan.

Pada 18 November 2015, Mahkamah Tinggi membenarkan Khairuddin dan Chang dibebaskan dengan jaminan selepas memutuskan pertuduhan yang dihadapi itu tidak tertakluk di bawah Sosma.

Kesalahan di bawah Sosma tidak boleh dijamin.

Khairuddin memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak mahkamah pada 13 April tahun ini.

Khairuddin diwakili sepasukan peguam diketuai Mohamed Haniff Khatri Abdulla manakala Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Zhafran Rahim Hamzah mewakili pihak pendakwaan.

- FMT

No comments: