Wednesday 24 August 2016

Kebocoran dokumen dedahkan kebolehan kapal selam Scorpene

scprpene
SYDNEY: Kebocoran data besar-besaran menimpa kapal selam buatan DCNS Perancis yang pernah dijual kepada Malaysia, India dan Chile, menurut akhbar The Australian hari ini.

Ia susulan kebocoran sebanyak 22,400 muka surat yang memperincikan kebolehan kapal selam Scorpene yang dibina DCNS dan dijual kepada angkatan tentera Malaysia, India dan Chile, termasuk Brazil yang dijangka menggunakan kapal itu pada 2018.

Kebocoran itu turut menjadi kebimbangan Australia, yang April lalu memberikan kontrak A$50 bilion (RM150 bilion) kepada DCNS bagi membekalkan kapal selam.

Dokumen bocor itu bertanda “Restricted Scorpene India” dan mengandungi maklumat kebolehan ketenteraan kapal selam India, lapor The Australian.

Ia turut menyertakan alat sensor, sistem komunikasi dan alat navigasi, di mana hampir 500 muka surat adalah mengenai sistem pelancaran torpedo.

DCNS memberitahu AFP ia mengetahui laporan mengenai kebocoran itu dan pihak berkuasa keselamatan negara sedang menyiasat perkara itu.

Penyiasatan akan memastikan jenis dokumen yang dibocorkan dan kemungkinan kesan buruk kepada pelanggannya, kata DCNS.

Laporan media Australia itu berkata DCNS membayangkan kebocoran itu datangnya dari India dan bukan Perancis.

Data yang bocor itu dikatakan sudah dipadam pada 2011 oleh seorang bekas anggota tentera laut Perancis yang merupakan pekerja kontrak DCNS.

Data yang bocor itu dipercayai menyusup masuk ke beberapa syarikat di Asia Tenggara sebelum tiba di Australia, lapor The Australian.

Australia yang memberikan kontrak kapal selam kepada DCNS bagaimanapun menggunakan sistem ketenteraan sulit Shortfin Barracudas yang dibekalkan Amerika Syarikat.

- AFP

No comments: